BENTONG – DAP meletakkan lapan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Daripada kesemua calon yang ditampilkan, tiga muka baharu dipertaruhkan di Tanah Rata, Ketari dan kerusi tambahan di Pulau Manis, Pekan.

Mereka ialah Ho Chi Yang di kerusi DUN Tanah Rata, Thomas Su Keong Siong di Ketari dan Muhammad Khairil Khalid bagi Pulau Manis.

Pengumuman tersebut dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam satu majlis pengumuman dan penyerahan watikah calon DAP Pahang di sini malam ini.

Anthony Loke

Selain tiga kerusi DUN itu, DAP turut bertanding di lima lagi kerusi DUN Pahang iaitu Tras, Mentakab, Sabai, Triang dan Bilut.

Bekas Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang juga calon DAP untuk kerusi Parlimen Lipis kali ini turut dicalonkan bagi kerusi DUN Tras.

Manakala DUN Mentakab ditandingi Woo Chee Wan, kerusi DUN Sabai ditandingi Kamache Doray Rajoo.

Sementara itu, Setiausaha DAP Pahang, Lee Chin Chen akan mempertahankan kerusi DUN Bilut yang dimenangi pada PRU14.

Bagi kerusi DUN Triang pula, DAP mengekalkan Leong Yu Man yang juga merupakan anak Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.

Anthony pada 26 Oktober lalu mengumumkan empat calon daripada parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen di Pahang.

Mereka ialah Young Syefura Othman (Bentong), Chow Yu Hui (Raub), Chiong Yoke Keong (Cameron Highlands) dan Tengku Zulpuri Shah (Lipis).-MalaysiaGazette