KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menuntut Barisan Nasional (BN) melakukan perubahan besar melangkaui kepentingan politik kepartian.
Lebih-lebih lagi kerana rakyat sudah semakin jelak dan ‘letih’ dengan percaturan politik, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, kepentingan politik dalaman parti menjadi perkiraan dalam soal penentuan calon, tuntutan memulihkan kesuraman negara dan mengangkat kembali agenda mensejahterakan rakyat adalah lebih tinggi daripada kepentingan politik individu dan kepartian.
“Maka dengan sebab itu, kesemua calon yang diketengahkan kali ini, adalah barisan yang telah memberikan akujanji dan sumpah untuk bekerja sepenuh hati kepada rakyat.
“Menjaga amanah rakyat dan memastikan diri bebas daripada sebarang bentuk penyimpangan, salah guna kuasa dan rasuah demi kestabilan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan kepimpinan parti-parti komponen BN yang lain.
Ahmad Zahid menambah, kestabilan itu sudah tentu akan menatijahkan pembentukan sebuah kerajaan yang kukuh dan meletakkan keutamaan bagi mengembalikan kemakmuran ekonomi negara dan berupaya menangani isu-isu ‘poket’ dan ‘perut’ rakyat.
Menurut beliau, calon-calon BN yang ditampilkan pada PRU-15 mempunyai tanggungjawab dan beban amanah yang amat besar.
Ahmad Zahid turut menggariskan prinsip keutamaan TAAT yang merupakan singkatan dari TETAP, KHIDMAT dan MUAFAKAT yang menanti bakal-bakal wakil rakyat BN selepas PRU-15.
“Pertama, TETAP memegang amanah rakyat dan tidak mengkhianati mandat. Kedua, KHIDMAT demi rakyat dengan waktu bekerja mengikut pusingan jam dan ketiga, MUAFAKAT berterusan dengan semua segmen masyarakat bagi mendapatkan saranan dan kaedah-kaedah pelaksanaan usaha mensejahterakan kehidupan rakyat agar sentiasa sesuai, segar dan segera,” katanya.
Beliau berkata, dengan tiga keutamaan itu, wakil rakyat bukan jawatan untuk mendapatkan keistimewaan dan bukan tiket untuk mendapat layanan sebaliknya mesti mampu menjadi pelayan.
“Wakil rakyat bukan untuk kemegahan dan kemewahan, sebaliknya untuk mensejahterakan kehidupan seluruh watan,” jelasnya.
Ahmad Zahid juga menyatakan penghargaan kepada semua wakil rakyat yang telah menabur bakti dan berkhidmat sebelum ini.
“Bagi yang terpilih semula, teruskan kecemerlangan perkhidmatan dan bagi yang tidak terpilih, jasa dan sumbangan anda semua akan terpahat dalam tinta sejarah perjuangan BN,” katanya. – MalaysiaGazette
betul-betul perubahan besar, calon MIC pun tiada.