Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

AMPANG – Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Tee Keat akan bertanding di Parlimen Pandan mewakili parti Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Perkara berkenaan diumum oleh Presiden parti itu Datuk Seri Shafie Apdal pada hari ini.

Selain Pandan, beliau turut mengumumkan parti tersebut bertanding di 25 lagi Parlimen dan 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Walau bagaimanapun Shafie berkata, terdapat kerusi DUN yang akan diumumkan kelak berdasarkan keperluan.

“Macam Parlimen Arau tidak umum siapa lagi, yang untuk sekarang, saya akan umum lagi sebelum 5 November berdasarkan keperluan. Ada yang kata perlu bertanding di kawasan ini dan kawasan itu,” katanya.

Antara Parlimen yang diumum Shafie pada hari ini adalah, Padang Besar; Kangar; Arau; Pokok Sena, Alor Setar; Kuala Kedah; Merbok; Padang Serai; Tasek Gelugor; Batu Kawan; Jelutong; Bayan Baru; Gopeng dan Tapah.

Parlimen seterusnya adalah, Lumut; Tumpat; Ampang; Pandan; Hulu Langat; Klang; Kepong; Batu; Wangsa Maju; Kuala Pilah dan Sekijang.

Jelas Shafie, Warisan nekad bertanding secara solo pada pilihan raya kali ini tanpa bergabung dengan mana-mana parti kerana enggan muncul masalah pada masa akan datang.

“Kalau bergabung seperti sebelum ini, ia jadi bukan gabungan kepentingan rakyat tapi nanti  siapa Perdana Menteri. Masalah rakyat cukup besar.

“Daripada saya bergabung dengan parti maka saya bergabung dengan rakyat maka Warisan tawar bertanding tanpa bergabung,” katanya lagi.

Meskipun pernah berhadapan dengan kekalahan di enam DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun Shafie yakin parti berkenaan mempunyai penyokong berdasarkan sambutan di negeri itu.

“Walaupun kita sedar bertanding di Johor tidak ada kerusi menang tapi ada berapa ribu menyokong Warisan walaupun dalam tempih tiga minggu kita kempen.

“Hari ini ada sesetengah kawasan mereka gemar memilih calon bebas bukan kepartian saya yakin kalau calon Bebas boleh tawar diri, kita juga yang ada kekuatan di Sabah boleh. Kita ada pelbagai latar belakang dan toloh yang mempunyai pengalaman, paling muda 29 tahun,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast