uncle kentang
Kuan Chee Heng

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih terkenal dengan gelaran Uncle Kentang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau membuat keputusan itu bagi memberi alternatif kepada penduduk Puchong untuk memilih satu suara yang boleh mewakili mereka semua di Dewan Rakyat.

Chee Heng percaya dengan kelebihan yang dimilikinya sebagai anak tempatan dan mesra rakyat menjadi antara faktor bagi pengundi untuk memilihnya.

“Senang mendapat bantuan. Nak sign borang, pejabat dekat Puchong Utama sahaja.

“Bukan calon dari luar. Anak penoreh getah. Faham masalah rakyat. Bersama rakyat sentiasa. Mudah ditelefon. Nombor telefon hari-hari dipampangkan.

“Senang dijumpa di kedai mamak, pasar dan mana-mana sahaja. Menjadi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selama 14 tahun. Memahami keselamatan dan keperluan masyarakat,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Chee Heng berkata, Puchong berhak mendapat suara yang sebenarnya, bukan daripada ahli politik tetapi daripada seorang rakyat biasa yang memahami kesusahan penduduk.

Beliau berharap penduduk Puchong akan mengundi seorang calon yang mudah ditemui dan boleh mewakili mereka daripada rakyat kepada rakyat.

Chee Heng turut menyeru kepada mereka yang berminat menjadi sukarelawan kempen supaya menghubunginya di talian 018-2683999. – MalaysiaGazette