Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika hadir pada Program Kasih@Smile Sempena Bulan Keluarga Malaysia 2022 di Dewan Komuniti Putra Perdana Puchong, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 NOVEMBER 2022.

PUCHONG – Pendapatan penduduk yang rendah dan isu ekonomi merupakan faktor utama menyebabkan indeks kebahagiaan rakyat Selangor merekodkan kadar terendah berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, hasil itu diperoleh berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2021 menunjukkan Selangor mencatatkan indeks kebahagiaan yang paling rendah iaitu 5.74 peratus berbanding negeri-negeri lain.

“Kalau kita lihat pada indeks nasional adalah 6.48 peratus iaitu perbezaan sebanyak 0.74 peratus dan negeri yang paling bahagia ialah Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 9.29 peratus.

“Faktor utama yang menyebabkan penduduk di Selangor tidak bahagia dan indeks terendah adalah disebabkan pendapatan yang rendah dan isu ekonomi.

“Bagi tujuan itulah saya menggesa pihak swasta dan badan bukan kerajaan, individu dalam keluarga termasuk datuk, nenek, ibu bapa dan anak-anak perlu memainkan peranan penting dalam mengekalkan institusi kekeluargaan agar sentiasa sejahtera dan bahagia.

“Justeru usaha mempertahankan keutuhan institusi keluarga serta mengekalkan tahap kesejahteraan keluarga bukan sekadar di bahu kerajaan semata-mata, malah ia juga menjadi tanggungjawab bersama semua pihak termasuk swasta dan setiap individu dalam keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dan menyempurnakan Program KASIH@SMILE dan Kick Off bulan Keluarga Malaysia 2022 yang bertemakan Kasih Keluarga Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Komuniti Taman Putra Perdana hari ini.

Dalam program sama, beliau turut menyumbangkan 1,000 topi keledar kepada kanak-kanak yang memerlukan di komuniti tersebut di program yang dijangka memanfaatkan lebih 5,000 orang.

Tambah Rina, Selangor dipilih sebagai kawasan rintis program tersebut sebelum diperluaskan ke seluruh negara dengan mengambil kira kadar indeks kebahagiaan rendah itu.

Menurutnya, program berkenaan juga bertujuan untuk membangkitkan semula semangat wanita dan suri rumah dalam mempertahankan kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).

“Ia juga seiring dengan pengumuman kerajaan bahawa bulan November sebagai bulan sambutan Hari Keluarga Malaysia.

“Malah dalam Bajet 2023 Oktober lalu, kementerian diperuntukkan sebanyak RM3.4 bilion dengan peningkatan sebanyak 26.46 peratus bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi mendokong kesejahteraan keluarga dan rakyat Malaysia,”tegasnya. – MalaysiaGazette