Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mempunyai aset bersih bernilai hampir RM19 juta mendakwa dirinya tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk menambah kekayaan sendiri.

Calon PKR bagi Parlimen Pandan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PKR15) itu juga berkata, dia tidak pernah menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen Pandan pada 2013 hingga 2018 untuk mengkayakan isteri dan keluarga.

“Jumlah nilai aset bersih saya pada 31 hari bulan Oktober 2022 adalah dianggarkan sebanyak RM18,851,350. Senarai harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya terkandung di dalam Lampiran 1.

“Kesemua anggaran yang terkandung di dalam pengisytiharan ini dibuat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan ingatan saya.

“Semua aset yang diberi nilai pasaran terkini adalah berdasarkan anggaran terbaik saya,” katanya dalam akaun bersumpah pengisytiharan harta yang dikongsi di media sosial.

Rafizi berkata, beliau tidak pernah memegang jawatan awam lain selain dari menjadi ahli Parlimen pada penggal 2013 hingga 2018.

Akuan berkanun yang dibuat Rafizi mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 bagi tujuan mengisytiharkan harta sebagai seorang yang berminat menjadi calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15.

Akuan bersumpah itu juga sejajar dengan sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh PKR sebagai calon bertanding di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat.

Rafizi mendakwa beliau antara ahli Parlimen pertama yang mengisytiharkan harta secara terperinci sejak 2016.

Sebagai Pengarah Pilihanraya PKR, beliau juga menjadi calon pertama parti tersebut yang mengisytiharkan harta bagi PRU15.

“Kini, amalan mengisytiharkan harta oleh ahli politik sudah diterima baik. PKR meletakkan syarat semua calon yang ingin bertanding wajib mengisytiharkan harta.

“Sekretariat Jabatan Pilihanraya (JPRP) kini sedang mengumpulkan akuan-akuan bersumpah pengisytiharan harta yang akan dipaparkan di laman www.calonkeadilan.org bermula esok (hari ini),” katanya.

Semakan sehingga pukul 8.30 pagi tadi masih belum terdapat paparan pengisytiharan harta oleh calon-calon PKR yang bertanding. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Wow…jd Ahli Parlimen tak berapa lama pun boleh kumpul aset 19 juta? Berapa gaji Ahli Parlimen yer? Rakyat yg kerja berpuluh tahun, 1 juta pun tak mampu…

Comments are closed.