JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menggesa rakyat khususnya pengundi di negeri ini untuk menolak janji-janji manis yang ditabur parti lawan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Hasni yang juga merupakan Pengerusi UMNO Johor berkata, tiada tempat bagi mereka atau individu yang suka berjanji manis.
Jelasnya, BN tidak akan membuat sebarang janji manis, sebaliknya setiap perkara yang dijanji akan dilaksanakan.
“Orang yang suka janji manis tiada tempat di negri Johor kerana kita tidak mahu membuat janji-janji manis dan hanya menanam tebu di tepi bibir, cukuplah.
“Sebaliknya kita mahukan sesuatu yang realistik, dan dalam tempoh enam bulan BN kembali mentadbir Johor, pelbagai kejayaan telah berjaya dilakar. Kejayaan Johor akan memberikannya kesan domino kepada kejayaan di peringkat pusat.
“Janji Pakatan Harapan (PH) porah, itu hanya janji manis semata-mata,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera BN Johor bagi PRU-15 yang diadakan di Stadium Tertutup EduCity, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Hasni yang juga merupakan calon Parlimen Simpang Renggam turut berterima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah kerana memberi beliau laluan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya perlu buat special mention‘ kepada Datuk Zakaria Dullah kerana memberi laluan kepada saya.
”Dan saya rasa jika Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atau Datuk Seri Razali Ibrahim berucap di pentas ini, mereka juga mungkin akan berbuat perkara yang sama,” jelasnya.-MalaysiaGazette