Datuk Zainal Azman Abu Seman

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) akan menamakan Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Perak baharu jika mereka merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Ya, ya (Zainal Azman) adalah calon MB bagi PH. Itu adalah perancangannya.

“Ini adalah percaturan yang rumit untuk dia sebab kita tidak pernah nampak bekas pegawai awam untuk dicalonkan jawatan itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

PH dijangka menamakan Zainal Azman yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.

Jelas Rafizi lagi, negeri Perak sangat kurang pemimpin Melayu untuk diketengahkan sebagai calon.

“Perak kurang pemimpin Melayu yang dapat mengimbangi antara meningkatkan sokongan Melayu kepada PH dan PKR dan menguruskan negeri dengan stabil,” kata Rafizi lagi.

Untuk rekod, PKR pernah memenangi kerusi Kuala Sepetang pada 2008 dan 2013 namun kalah kepada UMNO dengan majoriti 329 undi pada PRU14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast