KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang meminta Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menolak penamaan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau membuat gesaan itu dalam surat terbuka kepada calon-calon PRU-15 yang disiarkan dalam laman blog miliknya, hari ini.
“Serahkan usaha untuk memenuhi Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia kepada golongan anak muda di Malaysia,” katanya.
Setelah 12 kali bertanding dalam PRU sejak 1969, Kit Siang akhirnya mengumumkan tidak bertanding pada PRU15.
Bagaimanapun, era dinasti Lim belum berakhir kerana anak perempuannya, Senator Lim Hui Ying dicalonkan mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Parlimen Tanjong.
Anak lelakinya, Lim Guan Eng pula kekal bertanding di kerusi Parlimen Bagan.
Kit Siang, 81, mula bertanding pada PRU3 di kerusi Parlimen Bandar Melaka diikuti Kota Melaka (PRU4), Petaling (PRU5), Kota Melaka (PRU6), Tanjong (PRU7, PRU8, PRU9), Bukit Bendera (PRU10), Ipoh Timur (PRU11, PRU12), Gelang Patah (PRU13) dan Iskandar Puteri (PRU14).
Beliau hanya tewas sekali di Bukit Bendera pada PRU10 dengan majoriti tipis 104 undi di tangan calon BN, Datuk Seri Chia Kwang Chye.
Kit Siang juga pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serdang pada 1968 dan DUN Kubu pada 1974 dan 1978 serta Bandar Hilir pada 1982.
Dr. Mahathir pula mula bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU2 dan seterusnya PRU3 di kerusi Parlimen Kota Star Selatan diikuti Kubang Pasu (PRU5 hingga PRU10) sebelum bersara menjelang PRU11.
Beliau tidak bertanding pada PRU4 dan pernah tewas sekali di Kota Star Selatan pada PRU3 di tangan bekas Presiden merangkap Mursyidul Am Pas, Yusof Rawa.
Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu kembali aktif dalam politik menjelang PRU14 dan beliau memenangi kerusi Parlimen Langkawi atas tiket PKR ketika menjadi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang kini berusia 97 tahun masih ingin mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang disandangnya pada PRU15 atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dr. Mahathir juga memegang rekod sebagai Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu selama 22 tahun, mulai 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.
Sementara itu, Tengku Razaleigh, 85, mula bertanding pada PRU3 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kelantan Barat dan berjaya menewaskan calon Pas, Hussin Abdullah.
Beliau mula bertanding kerusi Parlimen pada PRU4, PRU5 dan PRU6 di Ulu Kelantan diikuti Gua Musang (PRU7 hingga PRU14).
Kemenangan Tengku Razaleigh adalah atas tiket BN kecuali pada PRU8, PRU9 dan PRU10 yang mana beliau bertanding atas tiket Semangat 46.
Bekas Menteri Kewangan itu dicalonkan semula untuk mempertahankan penguasaan BN di kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU15. – MalaysiaGazette