Pas DAP PASrelief
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin Pas yang bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) sudah dipecat dan secara automatik bukan lagi ahli Pas, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden Pas itu berkata, mereka yang bertindak berbuat demikian mempunyai masalah disiplin sejak dari awal lagi.

“Dia bukan pemimpin Pas lagi dan bukan orang Pas. Saya tidak perlu komen.

“Mereka sudah dipecat daripada Pas dan automatik keluar daripada Pas. Kami tidak bertanggungjawab dengan diri dia. Terpulang kepada dia nak tanding parti mana.

“Mereka sudah ada masalah disiplin daripada awal dan sudah diambil tindakan disiplin. Semua mereka dipanggil dan diberikan nasihat oleh kerana mereka punya pandangan sendiri dan tidak mahu terima keputusan parti, sila keluar daripada parti,” katanya dalam sidang media selepas ceramah perdana sempena majlis Pengisytiharan Calon PRU 15 Pas di Marang, Terengganu semalam.

Hadir pada majlis Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel berkaitan: Muka baru di Tanjung Karang, Khairuddin pertahan kerusi Kuala Nerus

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua pemimpin Pas yang menyertai BN sebagai calon pada  Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), 19 November depan.

Kedua-dua mereka adalah bekas pemimpin Pas, Datuk Seri Khairuddin Aman Razali yang akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi untuk kerusi Parlimen Tumpat atas tiket BN.

Ditanya sama ada langkah dua pemimpin Pas itu menyertai BN memberi kesan, Abdul Hadi berkata, ia tidak meninggalkan kesan kepada parti dan ahlinya.

Jelas Abdul Hadi, pengundi dan ahli Pas tetap istiqamah dengan memilih calon daripada Pas.

“Pas tidak rasa tergugat dengan mereka. Apa lagi kita mendapat sokongan daripada UMNO yang baru datang sertai kita,” jelas Abdul Hadi.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yakin dua kerusi terbabit akan kekal bersama Pas selepas PRU15.

“Insya-Allah kita akan dapat pertahankan kerusi dengan kekuatan yang kita ada. Malah kita ada cawangan di setiap peti undi.

“Kita harap ahli yang menyokong pun tidak menyokong mereka dan masih bersama dengan kita,” kata Abdul Hadi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.