KUALA SELANGOR – Meskipun nama Tan Sri Noh Omar digugurkan daripada senarai calon Parlimen Barisan Nasional (BN) Selangor, namun beliau tidak akan mengikut jejak langkah segelintir pemimpin UMNO yang kecewa dan bertindak berpaling tadah.
Beliau tidak akan sesekali mengambil tindakan bertentangan dengan partinya termasuk bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Karang atas tiket selain daripada BN.
“Saya orang parti, takkan lah parti yang berjasa dengan saya nak lawan pula.
“Saya masih setia dengan BN dan saya akan teruskan parti saya,” katanya pada sidang media di Comand Centre BN Tanjong Karang, di sini, hari ini.
Semalam, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan oleh BN akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Shahidan yang juga Menteri Wilayah, diumumkan akan bertanding atas tiket PN bagi mempertahankan kerusi oleh Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, yang turut digugurkan BN, diumumkan mewakili PN bertanding mempertahankan kerusi itu.
Sementara itu, Noh juga melahirkan kebimbangan terhadap penerimaan pengundi Parlimen Tanjong Karang apabila beliau tidak lagi bertanding di kerusi yang dimenanginya sejak 27 tahun lalu
“Yang saya bimbang ini ialah reaksi rakyat, itu yang saya bimbang.
“Tak tahulah apa reaksi rakyat nanti bila orang lain bertanding di Tanjong Karang,” katanya. – MalaysiaGazette