Nik Mohamad Abduh Nik Aziz

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendedahkan beliau sendiri yang tidak mahu dilantik sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Katanya, hasrat itu dinyatakan lebih awal semasa berucap pada Mesyuarat Agung Pas Kawasan Bachok, beberapa bulan lalu.

“Apabila saya diberi isyarat awal kesediaan parti untuk terus memilih saya sebagai calon pada PRU15 kali ini, saya terus bergegas berjumpa dengan Yang Dipertua Pas Kawasan, Datuk Hasan Mahmud untuk menyatakan hasrat pasti untuk kali kedua.

“Nampak macam berat mahu terima, saya ‘paksa’ dia terima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Mohamad Abduh beliau turut berjumpa Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob bagi menyatakan hasrat tersebut.

Katanya, beliau bersyukur permintaannya diterima dan dibawa ke pengetahuan Pas Pusat.

Dua hari lalu, Pas mengumumkan Nik Mohamad Abduh dan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi digugurkan daripada calon Perikatan Nasional (PN) di Kelantan pada PRU15.

PN meletakkan muka baharu, Muhamad Shahir Che Sulaiman di Parlimen Bachok dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi sebagai calon di Parlimen Tumpat. – MalaysiaGazette