Para penyokong BN, PN dan PH di perkarangan Dewan Konvensyen Bera sempena penamaan calon Parlimen Bera hari ini.


BERA – Suasana mendung tidak menghalang puluhan penyokong tiga parti – Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk berarak mengiringi calon mereka ke Pusat Penamaan Calon (PPC) di sini pagi ini.

Sorakan dan laungan takbir bersahut-sahutan dilakukan secara aman tanpa sebarang unsur provokasi daripada semua penyokong yang dibenarkan masuk ke perkarangan PPC.

Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bera selesai menghantar borang pencalonan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada pukul 9.22 pagi.

Calon PH yang akan merebut kerusi yang sama, Abas Awang diiringi Norazlan Zain sebagai pencadang dan Rahmat Zainudin masuk ke PPC pada pukul 9 pagi.

Manakala calon PN, Asmawi Harun diiringi Muhammad Tamid Mt Zin sebagai pencadang dan Mohd Naim Abd Ghani sebagai penyokong manghantar borang pencalonan sempena Pikihan Raya Umum (PRU 15) kali ini.

Ismail Sabri yang menyandang kerusi Bera sejak 2004 menang di kerusi tersebut pada PRU14 dengan 20,760 undi menewaskan Zakaria Abdul Hamid (PKR) yang memperoleh 18,449 undi manakala Pas dengan 8,096 undi.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan terdapat kira-kira 19,338 pengundi baru bagi Parlimen Bera pada PRU kali ini.-MalaysiaGazette