BUKIT MERTAJAM – Suasana di pusat penamaan calon Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), di sini, hari ini meriah dengan kehadiran figura Optimus Prime.
Figura dalam filem Transformers itu tiba pada jam 8.30 pagi bagi mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Nurul Izzah Anwar yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut.
Mohamad Syukur Mohd Patthi, 28, yang menggayakan kostum seberat 30 kilogram itu berkata, watak Optimus Prime dipilih sebagai simbolik dalam mentransformasikan kerajaan ke arah lebih baik.
Jelas anak kelahiran Seberang Jaya itu, dia mengambil satu kira-kira satu jam untuk memakai kostum tersebut.
“Saya siap pada jam 8 pagi tadi dan berarak bersama calon Parlimen Permatang Pauh PH, Nurul Izzah kira-kira 100 meter ke pusat penamaan calon ini.
“Saya rasa bangga menggayakan kostum ini kerana ia bukan saja kegemaran kanak-kanak malah turut dikenali golongan dewasa.
“Selain itu, saya juga mampu memakai kostum ini dalam tempoh masa yang lama memandangkan sudah hampir tiga tahun terlibat dalam aktiviti memperagakan figura-figura sebegini di khalayak ramai.
Tambah Mohamad Syukur, kostum tersebut dibeli dengan harga RM8,000. – MalaysiaGazette