TEMERLOH – Setiap calon mahu berceramah pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) diingatkan supaya memohon permit daripada  pihak polis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, permit terbabit boleh dipohon bermula hari ini.

“Ketidakpatuhan akan mengakibatkan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap calon parti yang bertanding,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengingatkan agar setiap calon dan orang ramai yang berkempen melakukannya secara berhemah dengan tidak menyentuh sensiviti perkauman, agama dan institusi diraja.

“Janganlah melanggar undang-undang seperti membakar bendera atau mengoyak poster parti lawan,” tambahnya.

Menurut Ramli, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menimbulkan provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan mengganggu ketenteraman awam.

Sementara itu, Ramli memaklumkan seramai 2,874 orang pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dengan bantuan 69 sukarelawan simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah digerakkan bagi kelancaran proses penamaan calon di Pahang hari ini.

Secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan sifat matang yang ditunjukkan penyokong-penyokong parti yang mematuhi peraturan dan undang-undang semasa hadir memberi sokongan kepada calon-calon mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast