PEKAN – Calon Parlimen Pekan dari  Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Sh Mohmed Fuzi Sh Ali berdepan persaingan lima penjuru bagi kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli mengumumkan menerima kertas pencalonan daripada calon Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, Mohd Naim Zainal Abidin daripada Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, turut diterima adalah pencalonan Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin yang pernah bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini dua tahun lalu.

Turut menjadi tumpuan adalah pencalonan julung kali anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kerusi DUN Peramu Jaya.

Beliau bakal ditentang Abu Talib Mohammad (PN) dan Tugimon Abdul Hamild (PH) selain calon Bebas, Zainul Hisyam yang turur bertanding sebagai calon di kerusi Parlimen Pekan.

Bagi pencalonan kerusi DUN Pulau Manis, penyandangnya, Datuk Khairuddin Mahmud  dari BN berhadapan calon daripada PN, Mohd Rafiq Khan Ahmad Khan dan calon muda PH daripada DAP, Muhammad Khairil Khalid.

Sementara itu, di DUN Bebar, calon BN yang juga penyandang sebelum ini, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bakal bersaing tiga penjuru dengan Narzatul Haidar Sakim (PN) dan Ibrahim Sulaiman (PH).

Manakala bagi DUN Chini, calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Mohd Sharim Md Zain bakal ditentang Fahrur Rozi Jalaluddin (PN) dan Mohamad Yazid Che Mat (PH).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast