BERA – Baru sehari berkempen, bahan kempen calon Pakatan Harapan (PH) di Triang, dekat sini, dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang, Leong Yu Man, ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, beliau dimaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 7 malam ini.
“Kami akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini. Saya terima laporan daripada penyokong parti tadi,”katanya.
Beliau yang merupakan penyandang kerusi DUN Triang mengakui sedih melihat bendera, ‘bunting’ dan poster parti dirosakkan sebegitu rupa oleh pihak yang tidak diketahui.
“Sebab ini kempen pilihan raya di mana kita bersaing secara aman, secara adil.
“Kita pembangkang, semua dana, perbelanjaan kita gunakan dana kutipan masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi beberapa klip video dan gambar bahan kempen yang telah dirosakkan itu menerusi laman Facebooknya. – MalaysiaGazette