Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional P.090 Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon BN N.39 Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (kiri) bergambar dengan masyarakat setempat yang hadir pada Program Kenduri Rakyat bersama Komuniti Bandar Kemayan sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kemayan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2022.

BERA – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri mahu berkempen secara santai dan mengurangkan program berbentuk ceramah dalam tempoh dua minggu ini.

Perdana Menteri berkata, program-program berbentuk bertemu dan beramah mesra dengan pengundi seperti program ‘Moh Ngeteh’ dilihat lebih efektif untuk lebih dekat dengan masyarakat.

“Kalau nak kenalkan diri, orang di Bera ni dah kenal saya. kalau nak berucap panjang-panjang pun mereka dah biasa dengan saya. Jadi, jumpa dengan mereka sahajalah secara santai,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri kenduri rakyat dan menyantuni warga Bandar Kemayan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memilih untuk mengedarkan risalah berkenaan kejayaan yang dicapai kerajaan di bawah pimpinannya sebagai Perdana Menteri sepanjang tempoh berkempen ini.

Kaedah itu, katanya, lebih penting berbanding program berbentuk ceramah kerana pengundi kini lebih bijak dalam membuat pemerhatian dan keputusan.

“Rakyat sebenarnya ingin tahu apa yang telah dilaksanakan melalui inisiatif berdasarkan Bajet 2023.

“Jadi kita terangkan apa yang telah dilaksanakan dan apa yang akan dilaksanakan melalui Bajet 2023 itu. Jadi kita tak berbohong,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini telah pun diluluskan, justeru ia sebenarnya lebih kukuh berbanding sesebuah manifesto.

“Seperti saya sebutkan beberapa kali, manifesto tu belum tentu boleh dilaksanakan. Sebab tu dahulu PH apabila ‘over promise’, akhirnya mereka tak boleh laksanakan,” tambahnya.

Justeru, katanya, jika BN diberi mandat untuk menerajui negara pada PRU15, segala inisiatif terutamanya kepada masyarakat luar bandar dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast