KUALA LUMPUR – “Jika kita (Pakatan Harapan) dapat bentuk kerajaan kembali, kita akan batalkan pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 yang disalah guna Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),”.
Perkara itu menjadi janji calon PH Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad yang tekad untuk membela nasib penduduk Kampung Baru yang dihimpit masalah pengambilan tanah tanpa penyelesaian tuntas
Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, pengundi Titiwangsa harus bijak memilih wakil rakyat agar nasib mereka lulus tidak berselam, hilang tidak bercari iaitu kekal ‘menderita’ tanpa ada pemimpin yang tampil membantu.
“Datuk Johari Ghani (calon BN Titiwangsa) malangnya tidak bersuara dalam masalah ini. Penduduk cari saya datang mengadu walaupun saya bukan lagi menteri ketika itu, tawaran saya selesaikan isu Kampung Baru ini sangat berbeza berbanding ketika pimpinan mereka mentadbir,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Penyandang Ahli Parlimen Shah Alam selama tiga penggal itu berkata demikian bagi membidas ucapan seterunya, Johari yang mendakwa Khalid gagal menyelesaikan pembangunan di kawasan tersebut.
https://malaysiagazette.com/2022/11/06/khalid-tak-faham-isu-tanah-kampung-sungai-baru-johari/
Jelas Khalid, pemilik tanah Kampung Baru hanya diberikan pampasan dengan kadar sekitar RM400 kaki persegi sahaja berbanding tawarannya sebelum ini berjumlah RM1,000 kaki persegi.
Rentetan itu, beliau berharap pengundi dapat menilai yang mana intan, yang mana kaca ketika melaksanakan tanggungjawab pada tanggal 19 November ini.
“Saya tak nafi Johari memang bergiat aktif dan cukup dikenali masyarakat. Betul, dia baik dan selalu buat program, tetapi untuk pilih ahli Parlimen tujuan utamanya ialah orang itu akan pilih Perdana Menteri, jadi fungsinya besar.
“Kita nak pilih ahli Parlimen, bukan pengerusi pertubuhan kebajikan,” ujarnya buat pengundi di P119 yang menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN, PN, PH dan Gerakan Tanah Air. – MalaysiaGazette