Calon Barisan Nasional di Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertemu dengan penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati, Kampung Pandan, di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan tiga pemimpin UMNO bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) dan bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah memberi gambaran proses demokrasi yang tidak sihat di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ahli parti sepatutnya perlu memilik pendirian teguh walaupun tidak dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada kali ini.

Malah tegas beliau, sebarang rasa tidak puas hati perlu menggunakan saluran dalaman yang sesuai sebelum ini dan bukan selepas tidak terpilih menjadi calon.

“Saya pun bila kalah (PRI-14) tetap dalam parti Barisan Nasional kerana sama ada kita jadi calon ke tidak yang penting bila kita ‘subscribe’ ideologi BN, kita perlu kekal.

“Kalau ada faktor tertentu yang tidak sesuai dengan jiwa kita, perlu betulkan secara dalaman jangan bila tidak jadi calon baru nak betulkan kemudian lompat sana lompat sini.

“Ini (sikap) demokrasi tidak sihat,” katanya kepada selepas bertemu dengan penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati, Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang bertindak mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket PN manakala penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut bertanding mempertahankan kerusi berkenaan dan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi atas tiket Bebas.

Ditanya sama ada akan tindakan pemimpin UMNO itu akan memberi kesan kepada BN, beliau berkata, rakyat sudah bijak membuat penilaian.

“Saya rasa tidak memberi kesan kepada parti kerana rakyat bijak memilih dan bukan senang hendak tipu dan pusing-pusing mereka…tak kekal.

“Kalau pakai manifesto orang mungkin tertarik tetapi kemudian apabila tidak buat orang marah, jadi saya tidak cerita macam-macam manifesto tetapi saya bertindak, contoh kalau untuk kawasan ini apa saya akan buat?

“Saya akan terus pertahankan tempat ini kerana penduduk dan penjaja takut tempat ini dirobohkan untuk projek pembangunan, malah kita tambah baik dan ceriakan pusat ini dengan bumbung lebih sempurna jadi orang boleh makan selesa kalau hujan.

“Padang bola sini pun perlu digazetkan supaya jangan benarkan pembangunan kerana kita tiada kawasan lapang lagi,” katanya.

Sementara itu, Johari yang merupakan calon BN di Parlimen Titiwangsa pada PRU15 ini akanditentang bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

Mereka juga dicabar oleh calon dari Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta doktor gigi, Dr Rosni Adam yang mewakili PN, calon tunggal wanita yang bertanding di kerusi itu.

Pada PRU`4, Parlimen Titiwangsa dimenangi Datuk Seri Rina Harun yang mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi menewaskan Johari dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast