NEW DELHI – Seekor ular tedung maut selepas digigit seorang budak lelaki berusia lapan tahun di India, lapor media tempatan.
Kanak-kanak lelaki bernama Deepak itu dilaporkan menggigit reptilia tersebut selepas ia melilit tangannya ketika dia bermain di belakang rumah di Kampung Pandrapath di Chhattisgarh.
The New Indian Express melaporkan, sebelum itu ular itu berpusing di sekeliling Deepak dan tidak mahu melepaskannya.
“Ular itu melilit tangan saya dan menggigit saya. Saya kesakitan dan ular itu tidak berganjak apabila saya mengoyangkannya.
“Kerana sakit saya menggigitnya dengan kuat sekali sebanyak dua kali,” cerita Deepak.
Katanya, situasi getir itu berlaku dengan sekelip mata.
Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke pusat perubatan berhampiran dan dirawat dengan ubat anti-racun dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
“Deepak tidak menunjukkan sebarang gejala dan pulih dengan cepat kerana gigitan kering kerana ular itu tidak sempat mengeluarkan racun,” kata keluarga Deepak. – Agensi