pengundi Rembau
Nazree Yunus menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan PN bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kota di sini, malam tadi.

REMBAU – Kira-kira 80 peratus pengundi di kawasan Parlimen Rembau kini menyokong Perikatan Nasional (PN) setelah mereka hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Calon PN bagi kerusi Parlimen Rembau, Nazree Yunus berkata, mereka memberi respon yang positif ketika bertemu pengundi di sekitar pekan Rembau, Pedas dan Senawang semalam.

“Ini bukan yang saya ambil dan baca di media sosial semata-mata. Ini yang saya bertemu sendiri dengan pengundi.

“Kalau di pekan Rembau jelas orang Melayu sudah hilang keyakinan terhadap PH apatah lagi BN kerana soal-soal integriti dan kepimpinan 60 tahun terdahulu dan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dijatuhkan,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan PN bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kota di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan serta Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Rembau berdepan pertembungan lima penjuru di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Calon-calon lain ialah Datuk Seri Mohamad Hasan (BN) serta Jufitri Joha dari Pakatan Harapan (PH), S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ramly Awalluddn dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Nazree menambah, wadah PN merupakan alternatif terbaik yang ditawarkan kepada rakyat lebih-lebih lagi di kerusi Parlimen Rembau.

Menurut beliau, sepanjang 17 bulan PN mentadbir negara, Muhyiddin selaku Perdana Menteri telah menunjukkan prestasi yang meyakinkan.

“Kita mesti kempen dan sebut ini kepada pengundi kerana soal untuk mengajak mereka meyakini PN ini bukan kerana soal logo dan warna parti kita.

“Tetapi yang jauh lebih besar daripada itu adalah nilai perjuangan dan juga bukti perjuangan ketika ada kuasa jaga Malaysia, jaga Putrajaya.

“Bukan rompak wang negara tetapi belanja wang negara RM530 bilion untuk bantu lebih 20 juta rakyat ketika berdepan pandemik COVID-19,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta jentera PN agar menekankan tentang kelebihan PN berbanding parti-parti lain ketika berkempen kepada pengundi di Rembau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mana ko dapat duit $600 billion tu? Bukan org yg ko panggil perompak tu yg telah naikkan pendapatan negara? Lagi satu, mana ko dapat angka 80% tu?? Ko buat survey kaaa? statistik dapat kat mana? main tembak je…bodoh

Comments are closed.