Calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Jufliz Faiza (kemeja merah) sewaktu Penamaan Calon.

SUNGAI BULOH – Adat bagi yang masuk ke gelanggang pertandingan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selalunya semangat berkobar-kobar untuk menang.

Namun berbeza dengan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Sungai Buloh, Ahmad Jufliz Faiza yang tidak kisah sekiranya kalah dalam pertandingan tujuh penjuru di Parlimen tersebut. 

Jelas beliau, kemunculannya di kawasan berkenaan hanya ingin menyedarkan rakyat tentang hak mereka, bukan untuk memastikan sama ada wakil rakyat menang atau sebaliknya.

“Saya tidak ada masalah nak menang atau tidak pun. Minggu lepas ada orang kata saya kena ikut zaman Tiga Kerajaan

“Jadi saya ambil keputusan pergi Sungai Buloh nak kena kamikaze lah ni daripada nak satukan yang berpecah ini sebab saya nampak saya kena cetuskan rakyat kena bangkit, bukan nak memberontak tapi nak celikkan rakyat supaya rakyat rasa mereka mesti menang,” katanya menerusi siaran langsung bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertajuk Antara Hidup dan Mati, Jangan Salah Undi.

Beliau mahu memperkasakan rakyat agar mengetahui hak yang dimainkan dalam proses membuat keputusan dalam negara ini.

“Sebenarnya ini mandat rakyat, rakyat kena menang dalam situasi ini. Rakyat kena pastikan bukan calon itu menang tapi calon kena pastikan rakyat itu menang untuk dipilih. Kita mesti memperkasakan hak rakyat.

“Kawan saya ramai kata sudah tidak mahu mengundi, saya kata tidak mahu kena mengundi tapi kalau nak undi rosak, rosaklah tunjukkan protes pun tidak mengapa sebab nak tunjuk isyarat,” tambah beliau.

Menurut Ahmad Jufliz, rakyat yang celik tentang hak mereka akan dapat mengelak ditindas oleh pemimpin.

Beliau turut menyeru agar ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bakal mengundi buat pertama kali melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Kalau rakyat tidak ada jati diri akhirnya pemimpin-pemimpin yang akan tipu kita,” katanya.

Pada PRU15, PRM bertanding di 28 Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette