Calon Perikatan Nasional P.138 Kota Melaka, Suhaime Borhan bercakap pada sidang media bersama Perikatan Nasional Kota Melaka sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pejabat Gerakan Negeri Melaka. Fotoo MALAYSIA GAZETTE, 06 November 2022.

MELAKA – Saingan empat penjuru di Parlimen Kota Melaka dilihat mampu menjadi faktor kemenangan calon Melayu pertama dipertaruhkan bertanding di kubu kuat DAP itu sejak 1974 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Itu keyakinan calon Perikatan Nasional (PN) parlimen itu, Suhaime Borhan, 42, mewakili Gerakan sekaligus mengulangi sejarah yang menyaksikan kali pertama DAP tewas pada kerusi berkenaan kepada MCA pada 2004.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan negeri, berkata, walaupun usaha itu dilihat hampir mustahil, namun ianya boleh berlaku dengan lebih 40 peratus pengundi Melayu di kawasan itu berbanding PRU14.

“Dengan jumlah pengundi Melayu sebanyak 43 peratus, India lima peratus dan lain-lain kaum satu peratus serta bakinya adalah masyarakat Tiong Hua, saya yakin PRU15 boleh mencipta sejarah sekaligus sekali lagi memberi tamparan kepada DAP.

“Tambahan pula, PRU kali ini ada empat penjuru, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon Tiong Hua yang mana jika undi mereka dari kaum itu terpecah dua dan baki undi solid diberikan kepada saya sebagai calon Melayu pertama, saya yakin boleh menang,” katanya pada sidang media di sini.

Ahli perniagaan itu berkata, dia turut berterima kasih dengan Pengerusinya, yang juga Naib Presiden Gerakan, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam kerana memberi laluan kepadanya mencipta sejarah negara di kubu kuat DAP itu.

“Sebenarnya, sebelum strategi meletakkan saya di sini, kami telah berbincang selama hampir tiga jam dan yakin mampu menang jika peratusan keluar mengundi meningkat sambil dibantu jentera tiga parti komponen termasuk Pas dan Gerakan.

“Kita juga akan menggerakkan jentera untuk memastikan pengundi akan pagar berpihak kepada PN sekaligus mengulangi sejarah DAP pernah kehilangan kerusi itu pada 2004,” katanya.

Pada PRU15, Suhaime berdepan pertandingan empat penjuru antara penyandangnya Khoo Poay Tiong mewakili Pakatan Harapan yang menang dengan majoriti 49,175 pada PRU14, Kon Qi Yao (BN) dan calon Bebas, Datuk Dr Norazlanshah Hazali.

Parlimen Kota Melaka merupakan kubu kuat DAP sejak ia mula dipertandingkan pada PRU4 tahun 1974 yang menyaksikan ia dikuasai DAP sehingga PRU10 pada 1999.

MCA yang mewakili BN hanya berjaya merampas kerusi berkenaan PRU11 pada 2004 melalui calonnya, Datuk Wong Nai Chee, bagaimanapun DAP kembali merampas kerusi tradisinya itu pada PRU12 sehingga PRU14. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast