SEBERANG PERAI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Batu Kawan berazam akan mencipta lebih banyak peluang perniagaan kepada anak muda di kawasan itu sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umuk Ke-15 (PRU15) nanti.
Tan Lee Huat dari parti MCA berkata, peluang perniagaan itu bukan saja memastikan anak muda berjaya membina kehidupan malah mampu menjana ekonomi buat negara secara tidak langsung.
Jelas anak tempatan itu, menjaga kebajikan warga emas turut menjadi fokus beliau sekiranya diberi peluang sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan.
“Kita tak boleh fokus orang muda saja, warga emas pun kena jaga kerana mereka telah berusaha memajukan negara sebelum ini.
“Apa yang boleh saya gambarkan ketika ini, penduduk Batu Kawan ada memberi sokongan selepas saya diumumkan sebagai calon bagi parlimen ini.
“Jadi saya harap, sokongan dan dorongan itu disampaikan dengan cara memberi saya peluang untuk menjadi wakil rakyat mereka agar suara penduduk sini dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir merasmikan program pemerkasaan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Batu Kawan di Dewan Serbaguna Perkampungan Juru di sini.
Hadir sama Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng.
Tan Lee Huat berdepan saingan lima penjuru di Parlimen Batu Kawan. – MalaysiaGazette