JOHOR BAHRU – Berita gembira pastinya untuk semua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini selepas pasukan itu mengumumkan semua pemain skuad utama kekal bersama kelab itu, hari ini.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang mengesahkan perkara itu berkata, kelab itu akan mengekalkan kesemua pemain tempatan dan luar negara dalam skuad senior semasa serta tiga pemain daripada JDT II juga akan dinaikkan pangkat ke pasukan senior.
“Berhubung dengan pemain baharu, kelab telah mengenal pasti empat pemain baru – tiga pemain luar negara dan hanya seorang pemain tempatan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook rasmi kelab itu hari ini.
Selain itu, susulan titah pemilik kelab Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kelab itu akan melantik seorang bekas anggota tentera sebagai Ketua Keselamatan Stadium untuk menyelia kesemua perkara berkaitan keselamatan, termasuk mengurus dan melatih para marshal.
Selain itu, Alistair berkata Tunku Ismail turut bertitah bahawa pembinaan fasa pertama Pusat Latihan JDT yang baharu di Iskandar Puteri akan tertunda ekoran kekangan kewangan disebabkan keadaan ekonomi semasa di Malaysia.
“JDT akan memberikan maklumat-maklumat lanjut berkaitan kelab dalam masa yang terdekat,” kata beliau. – Bernama