REMBAU – Perang bendera antara parti-parti yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah bermula di beberapa lokasi hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati bendera Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah dipasang di tepi jalan-jalan utama bermula dari Senawang sehingga ke Seri Kendong.
Cuma bendera Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih belum kelihatan di mana-mana lokasi tumpuan orang ramai.
Poster calon pula masih belum ‘meriah’ dan hanya kelihatan di beberapa lokasi seperti di persimpangan jalan dan bilik gerakan parti.
Poster calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan banyak dipasang di persimpangan jalan di pekan Rembau, Chembong, Chengkau, Rantau, Paroi, Senawang dan Kota.
Bagi calon PH, Jufitri Joha, poster yang memaparkan wajahnya lebih banyak dipasang di sekitar lokasi bilik gerakan pilihan raya PH manakala poster calon PN, Nazree Yunus telah kelihatan di hadapan Giant Senawang.
Poster calon PSM, S. Tinagaran banyak dipasang di sekitar pekan Rantau dan Chembong manakala poster calon Pejuang, Ramly Awaluddin belum kelihatan lagi.
Secara keseluruhan, bendera dan poster BN dilihat lebih banyak dipasang berbanding parti-parti lain setakat ini. – MalaysiaGazette