Rafizi Ramli

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kini dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus ketika kerajaan semasa sudah dibubarkan.

Timbalan Presidennya, Rafiza Ramli berkata, dakwaan itu perlu dijawab segera oleh menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan, yang juga Timbalan Presiden Pas.

Jelas beliau, sekiranya perkara itu tidak akan diteruskan, Tuan Ibrahim wajar membuat kenyataan terbuka bahawa projek itu tidak akan dianugerahkan secara rundingan terus dan sebarang keputusan hendak dibuat oleh kerajaan yang baharu nanti.

“Saya ingin mendedahkan bahawa dimaklumkan oleh pemberi maklumat dalaman bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkubumi Sdn Bhd. (Mangkubumi).

“Projek bernilai RM2 bilion ini adalah untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau mendakwa KASA sebelum ini telah menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta kepada Mangkubumi untuk kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal secara tender terhad (atau selektif) di bawah program Jana Wibawa.

Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan di Parlimen Pandan turut memberitahu, hasil semakannya menunjukkan Mangkubumi tidak memfailkan penyata kewangan diaudit kerana memilih status sebagai “exempt company” (iaitu dikecualikan dari memfailkan penyata kewangan dengan pihak berkuasa).

Tambah beliau lagi, Mangkubumi juga berdepan dua kes petisyen muflis di mahkamah kerana tidak membayar hutang kepada kontraktor seperti rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Syarikat ini berhutang sebanyak RM144 juta dengan institusi kewangan mengikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya.

Rafizi menambah, semakin lanjut mengenai pemilik Mangkubumi iaitu Tan Sri Zainuddin Karjan yang menunjukkan beliau adalah seorang tokoh yang rapat dengan UMNO.

Beliau mendakwa, individu itu telah mendapat laba yang berterusan dari projek-projek kerajaan.

“Zainuddin adalah Penasihat Kelab Putra IMalaysia yang ditubuhkan oleh Datuk Azeez Rahim yang juga Ahli Parlimen Baling dan pemimpin UMNO

“Semakan saya juga menunjukkan ada dua projek yang dikendalikan kementerian ini yang melibatkan satu syarikat kroni yang rapat dengan pimpinan UMNO.

“Saya boleh mendedahkan bahawa kementerian yang dipimpin Timbalan Presiden Pas ini telah pun menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta kepada Mangkubumi untuk kerja-kerja menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal secara tender terhad (atau selektif) di bawah program Jana Wibawa.

“Projek ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini.

“Program Jana Wibawa adalah projek-projek yang melibatkan peruntukan besar yang bermula sejak zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera tertentu dengan penuh kerahsiaan, terutamanya kerana ia melibatkan tempoh masa semasa kerajaan mengisytiharkan darurat akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya akan menyentuh dengan lebih panjang mengenai program Jana Wibawa ini dalam sidang media yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette