Anggota bomba melakukan kerja pemeriksaan akibat kejadian kebakaran di Lorong Daud Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Litar pintas mungkin punca utama kebakaran sebuah rumah dua tingkat yang mempunyai lima pintu di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Bahru, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.20 malam tadi, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu termasuk seorang wanita dan bayi berusia tiga bulan.

Menurut mangsa, Robiah Abdul Rauf, 38, sewaktu kejadian dia sedang mengasuh seorang bayi lelaki kemudian ternampak asap dibahagian atas rumah.

Lantas, dia segera menyelamatkan diri bersama bayi terbabit sebelum api mula merebak dengan kuat.

“Ketika itu, bayi sedang tidur dan saya segera keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa pakaian atau dokumen pengenalan.

“Keadaan ketika itu api sedang marak dan asap banyak tetapi saya nekad untuk selamatkan diri dan bayi yang saya mengasuh sejak tiga bulan lalu,” katanya pada pemberita dalam keadaan yang masih trauma dengan insiden itu.

Calon Barisan Nasional P.119 Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertemu dengan mangsa kejadian kebakaran di Lorong Daud Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 NOVEMBER 2022.

Sementara itu, salah seorang pemilik kediaman yang ditemui, Abdul Rahman Maarif, 65, berkata, rumah berkenaan menempat seramai sembilan pekerjanya yang bekerja di sebuah kedai makanan berhampiran.

Dia mendakwa, kejadian itu berpunca akibat litar pintas kerana rumah berkenaan sudah berusia 60 tahun.

“Sebelum ini pekerja saya ada beritahu terdapat masalah wayar dan saya sudah baiki tetapi kali ini jadi sekali lagi sebelum berlaku kebakaran” ujarnya dalam nada sebak.

Terdahulu, Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba, Rahmat Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 8.19 malam.

Robiah Abdul Rauf memangku bayi tiga bulan yang berjaya dibawa keluar sebelum rumahnya hangus terbakar.

Seramai 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, Sentul, Jalan Tun Razak dan Hang Tuah serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah yang mempunyai lima pintu (rumah) terbakar 90 peratus… tindakan operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive dengan membuat cooling di rumah berhampiran.

“Tiada mangsa yang terlibat dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast