KOTA TINGGI- Tiada isu untuk melantik calon pilihan raya dari kalangan keluarga sendiri.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kota Tinggi, Rasman Ithnain berpandangan, apa yang penting adalah pakej dan kredibiliti yang dimiliki calon berkenaan.
Beliau yang juga bapa kepada calon PN Kota Tinggi, Mohd. Ridhwan Rasman berkata, pemilihan calon dalam kalangan ahli keluarga bukanlah perkara baharu sama ada di Malaysia mahu pun di luar negara.
“Contohnya anak saya (Mohd. Ridhwan), jika beliau mempunyai pakej sebagai calon, mengapa saya mahu menafikan haknya?
“Perkara ini berlaku di luar negara termasuk di Amerika, malah ia juga berlaku di Malaysia contohnya dalam keluarga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya semasa sidang media di Pejabat PN Kota Tinggi, hari ini.
Rasman berkata demikian ketika diminta mengulas pertikaian pihak tertentu berhubung pemilihan anaknya sebagai calon pilihan raya.
Anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili itu bakal berdepan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin dan Ketua Parti Amanah Kota Tinggi, Onn Jaafar yang mewakili Pakatan Harapan. -MalaysiaGazette