BUTTERWORTH – Perikatan Nasional (PN) akan menempatkan beberapa ejen khas untuk memantau semua ahli komponen dalam parti itu yang bertindak membantu parti lawan berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mana-mana ahli yang didapati bertindak sedemikan berdepan tindakan pelucutan keahlian.
“Kita akan kesan ahli parti berdasarkan laporan yang dihantar oleh ketua atau pengerusi kawasan masing-masing.
“Namun, dakwaan itu perlu disertakan dengan bukti yang nyata sebelum kita turunkan ejen untuk buat siasatan sejauh mana benar dakwaan tersebut.
“Sekiranya siasatan mendapati, mereka (ahli PN) membantu parti lawan, kita akan terus ambil tindakan pelucutan keahlian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas apa tindakan PN sekiranya ahli dalam gabungan parti mereka membantu parti lawan berkempen.
Terdahulu, Hamzah bertemu pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Senangan di sini, hari ini.
Hadir sama, calon Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketika disoal sama ada perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat PN atau tidak, Hamzah berkata, perbincangan sudah dibuat sebelum beliau mengeluarkan kenyataan mengenainya.
Media tempatan semalam melaporkan, mana-mana ahli Bersatu yang bertanding tanpa kebenaran parti pada PRU15 akan terlucut keahlian secara serta merta.
Setiausaha Agunngnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan menghentikan keahlian serta merta itu selaras dengan Fasal 10.2.4 dalam perlembagaan parti. – MalaysiaGazette