SIMPANG RENGGAM – Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 perlu memahami manifesto komponen itu supaya dapat diterjemahkan dengan jelas kepada rakyat.
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishamuddin Hussein menegaskan, manifesto BN adalah penting, oleh itu calon dan seluruh jentera BN perlu tahu dan mengambil maklum dengan serius.
“Kita perlu tahu bahawa ia adalah janji kita pada rakyat, seandainya janji itu tidak difahami ia sukar untuk diterjemahkan.
“Calon-calon termasuk saya dan jentera parti perlu memahami manifesto ini secara terperinci kerana kita sama sekali tidak mahu manifesto BN disamakan seperti janji-janji palsu yang gagal ditunaikan oleh pihak tertentu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Simpang Renggam di Laman Simpang Renggam.
Majlis itu turut disertai calon Parlimen Simpang Renggam, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Malam tadi, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melancarkan manifesto yang menampilkan Perancangan Amal Dan Usaha BN atau ringkasnya PADU
Hishammuddin berkata, calon-calon yang bertanding perlu mengambil sehari lagi untuk meneliti dan mengkaji manifesto itu supaya segala pergerakan untuk memenangkan calon-calon BN dapat bergerak senada, seirama.
“Ini bukti BN bahawa janji kita kepada rakyat dan bukan satu permainan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette