lima penjuru Nazree
Nazree Yunus (tiga dari kiri) menerima borang keahlian baharu Bersatu di Pusat Bandar Senawang, Seremban, baru-baru ini.

MUKADIMAH

Kerusi Parlimen Rembau menjadi rebutan antara lima parti iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam pertembungan lima penjuru yang sengit itu, calon PN, NAZREE YUNUS yakin situasi tersebut memberi kelebihan kepada beliau dan partinya.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan MalaysiaGazette, HUSSAINI AMRAN bersama beliau di Pusat Bandar Senawang, Seremban, baru-baru ini.

MalaysiaGazette: Sebagai kawasan luar bandar, penduduk Rembau mahu pembangunan. Sekiranya menang, bentuk pembangunan sebagaimanakah yang ingin dibawa PN ke Rembau?

Nazree: Berkenaan dengan soal Rembau dan pandangan yang menyebut bahawa Rembau ini berada di kawasan luar bandar, sudah pasti maka soal pembangunan itu dijadikan tumpuan oleh masyarakat termasuk oleh mana-mana pemimpin. Maka yang demikian, pembangunan yang dibawa oleh PN sekiranya kita diberi mandat untuk memimpin dan menjaga Parlimen Rembau ini mestilah pembangunan, kemajuan dalam bentuk holistik. Bermaksud mesti memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan nilai ilmu, soal pembentukan akhlak dan nilai moral termasuk pembangunan infrastruktur.

Jadi, inilah maksud pembangunan holistik yang saya kira menjadi agenda dan harapan PN sekiranya warga Rembau, rakyat Rembau, anak-anak muda Rembau memberi ruang dan kepercayaan kepada saya dan juga PN. Berkaitan dengan pembangunan, tumpuan kita adalah pembangunan secara holistik.

Tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah BN dan satu kawasan DUN di bawah PH. Ramai yang menjangka peluang PN untuk menang agak tipis.

Nazree: Kita boleh menjangka sesuatu di luar apa yang kita fikirkan secara biasa kerana sebagai contoh di Parlimen Kuala Pilah pada 2018 kita menang di kerusi Parlimen itu tetapi di kebanyakan DUN seperti Juasseh, Petaling, Seri Menanti dimenangi oleh BN. Jadi, ini juga memberi satu signal kepada kita, pengundi itu ada kepintaran dan penelitian yang tersendiri.

Saya yakin berdasarkan keadaan itu, tidak mustahil juga Rembau boleh melakukan kejutan yang mana kejutan itu bukanlah datang daripada soal parti semata-mata tetapi rakyat yang mahukan kejutan itu dan rakyat yang akan membuat pemilihan. Insya-Allah, berdasarkan beberapa analisis dan apa yang kita boleh rujuk berlaku di Parlimen Kuala Pilah, saya yakin insya-Allah kita ada ruang yang seimbang dan boleh kita usaha dengan lebih kuat bagi memastikan PN mendapat kepercayan rakyat khususnya anak-anak muda, golongan wanita, wanita muda dan suri rumah, peniaga dan mungkin di sebelah kampung, terlibat dengan pertanian, penternakan dan sebagainya. Itu pandangan yang saya kira boleh kita ketengahkan dan tidak mustahil untuk kita mendapat kemenangan di Parlimen Rembau.

lima penjuru
Nazree Yunus berucap pada ceramah kelompok di Bilik Gerakan PRU-15 PN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kota, Rembau, baru-baru ini.

Parlimen Rembau mempunyai 133,555 pengundi. Jumlah yang ketiga tertinggi di Negeri Sembilan. DUN Paroi sahaja mempunyai lebih 50,000 pengundi. Apa strategi untuk menarik sokongan mereka?

Nazree: Sudah pasti apa pun jumlah pengundi sama ada besar atau kecil, sama ada di Paroi, Chembong, Kota atau Rantau, soalnya adalah kita mesti mempunyai visi dan misi yang boleh kita ketengahkan supaya ia dapat menarik minat pengundi untuk memberi penilaian kepada kita. Sebab itu dalam sesi pengenalan saya menyebut bahawa kali ini secara khusus PN membawa bentuk kempen yang lebih strategik, lebih berhemah. Kita membawa pendekatan politik baharu khususnya dalam kalangan anak muda kerana hari ini anak muda sudah muak dengan pertembungan politik berasaskan semata-mata perbezaan warna bendera, pendirian politik.

Tetapi yang mereka mahukan adalah apa input-input yang boleh diberikan parti-parti politik ini supaya mereka boleh membuat penilaian dan akhirnya mereka boleh membuat pilihan pada 19 November ini. Maka, kalau tadi bertanya tentang soal angka, jumlah pengundi yang dikatakan antara Parlimen yang terbesar, di peringkat DUN pula, Paroi ini sebagai salah satu DUN yang berada dalam Parlimen Rembau, mempunyai jumlah pengundi yang besar, pendekatan kita adalah memberi penerangan, menyatakan apakah hala tuju dan apatah lagi di peringkat Pusat telah mengetengahkan manifesto yang saya yakin boleh diterima dan mendapat kepercayaan rakyat. Ini yang kita berikan tumpuan di sudut pengisian, penerangan dan pembangunan, soal nilai ilmu dan boleh membuka ruang pemikiran dan pilihan yang lebih matang.

Kita semua mengenali tuan haji sebagai bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). Kali ini, tuan haji akan bertembung dengan rakan-rakan dari PKR dan PH. Apa perasaan tuan haji?

Nazree: Ya, saya berdoa agar sahabat-sahabat saya dapat juga bersama-sama berkempen pada landasan politik masing-masing. Apa pun, saya yakin dan percaya, sekiranya parti dan perjuangan PN ini dapat membuktikan kemampuan kita, kematangan dan kebolehan PN dan juga di peringkat kepimpinan kita sendiri, insya-Allah, tidak mustahil untuk ahli-ahli atau anggota politik parti-parti lain juga akhirnya bila sampai ke meja undi, mereka akan membuat pertimbangan yang baik.

Sebab saya yakin setiap manusia, anak muda, wanita dan barangkali pekerja kilang, usahawan peniaga, fitrah manusia itu mereka cintakan kebaikan. Mereka cinta kebenaran. Mereka suka pada orang yang baik. Mereka suka kepada kepimpinan yang baik dan mereka suka kepada perjuangan yang telus dan berintegriti. Maka, atas dasar itu, dengan meyakini bahawa tahap kematangan politik rakyat dan komuniti di Parlimen Rembau ini pada tahap yang sedemikian, insya-Allah saya optimis untuk melihat walaupun ada perbezaan dari sudut pegangan atau keahlian atau keanggotaan politik, mungkin ada ahli UMNO, ada ahli PKR, DAP, tetapi kita mungkin pernah bersahabat dan mereka lebih mengenali diri saya. Insya-Allah, kalau boleh satu bentuk keterbukaan, kita tidak menolak sokongan daripada mana-mana pihak dan saya yakin semua ini sudah dalam pengetahuan pengundi. Insya-Allah, kita boleh beroleh sokongan daripada pelbagai pihak dan rentas parti.

Sekarang ini, kita dapat lihat BN ketika berkempen sama ada dalam bentuk ucapan atau hantaran media sosial mendakwa kerajaan PN gagal menguruskan negara dengan baik semasa memerintah selama 17 bulan. Mereka juga mainkan isu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu sebahagian daripada kerajaan PH. Bagaimana tuan haji boleh meyakinkan rakyat khususnya di Rembau tentang beza PN dengan PH dan keadaan sekarang dan dahulu?

Nazree: Ya, kalau itu menjadi hujah ceramah dan penerangan UMNO dan BN, apa yang saya boleh jawab ialah tempoh 17 bulan itu telah diurus kekayaan negara sebanyak RM530 bilion melalui lapan pakej rangsangan ekonomi yang akhirnya membantu lebih 20 juta rakyat dalam negara kita. Itu yang telah dilakukan kerajaan PN ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Soal ketika 22 bulan sebelum itu Bersatu juga adalah sebahagian daripada anggota dalam PH, tetapi kita mesti melihat apabila berlakunya penjajaran politik, itulah antara sebabnya Bersatu membuat pilihan untuk membentuk satu jajaran baharu dalam politik kerana perkara yang kita sebutkan tadi itu, soal kestabilan, soal kelangsungan ekonomi, inilah sikap yang diambil.

Maka, ia berbeza dengan apa yang berlaku di peringkat BN yang mana jelas telah ada soal-soal pendakwaan bagi kes-kes yang tertentu. Maka, kalau menjawab tentang soal seolah-olah adanya kegagalan 17 bulan itu, apa yang boleh saya respon ialah 17 bulan itu menjadi bukti kepada rakyat bahawa apabila PN diberikan mandat untuk memimpin dan mentadbir negara di bawah PN yang mana dipimpin ketika itu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun melakukan yang terbaik.

Ada beza soal PN dan juga apa yang telah apa permasalahan yang berlaku dalam kepimpinan negara di bawah PH. Inilah yang mungkin rakyat dan masyarakat umum boleh mula menilai tentang keberkesanan sebuah kerajaan itu. Berbeza 60 tahun lebih di bawah BN, 22 bulan di bawah PH dan 17 bulan sahaja di bawah PN. Jadi, jelas segmen yang boleh disemak oleh pengundi.

Kalau lebih lama PN diberi peluang, keadaan akan jadi lebih baik?

Nazree: Ya, saya fikir begitu. Kalau teruskan kepimpinan lebih daripada 17 bulan, saya fikir kita tidak perlu berdepan dengan pilihan raya pada waktu ini. Dengan keadaan beberapa negeri di Pantai Timur terlibat dengan bah atau banjir. Seharusnya dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi, soal kesihatan, soal sedikit juga krisis dan ketidakstabilan politik, maka kalau pada waktu kepimpinan di bawah PN itu tidak diganggu, saya kira kita boleh selesaikan pentadbiran ini sehingga hujung penggal.

Namun, realitinya ialah kita setakat 17 bulan, kemudian walaupun dalam gabungan yang sama tetapi dari sudut Perdana Menteri itu dipimpin oleh seorang wakil daripada BN, maka kita dapat lihat soal permasalahan yang berlaku dan juga yang paling besar ialah soal pendekatan vaksin itu sendiri pun ialah di bawah Perdana Menteri PN yang mengambil langkah segera dan berani untuk kita melaksanakan pendekatan itu yang akhirnya membolehkan rakyat keluar daripada apa yang pernah kita lalui iaitu tentang soal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu sendiri.

Nazree Yunus
Nazree Yunus (tengah) melancarkan konvoi bermotosikal jentera Pemuda PN Rembau di Pusat Bandar Senawang, Seremban, baru-baru ini.
i.

Di Rembau bertembung lima penjuru. Kita dapat lihat pada PRN Melaka dan Johor, pertembungan banyak penjuru biasanya lebih memihak kepada BN. Di Rembau ini mungkin tak berulang situasi itu?

Nazree: Ya, mungkin. Kalau pada pandangan saya, lima penjuru ini lebih beri peluang kepada PN itu sendiri. Pertamanya ialah sudah pasti dalam keadaan hampir 73 peratus pengundi Melayu di Parlimen Rembau ini dalam banyak keadaan saya meneliti ke mana arah mereka akan menentukan kekuatan sesebuah parti yang akan menang.

Lima penjuru, empat penjuru atau tiga penjuru, insya-Allah dengan apa yang prestasi yang kita lakukan di peringkat PN, saya yakin kita akan ada ruang yang seimbang seperti yang telah saya sebutkan sebentar tadi kerana pertambahan pengundi pun saya ingat 45,000, hampir mencecah 50,000.

Dengan sejumlah besar itu lebih daripada separuh ialah pengundi muda sama ada kita nak kira 49 tahun ke bawah atau 39 tahun ke bawah. Ini satu kumpulan yang kita belum kenal pasti lagi tentang soal sokongan politik mereka apatah lagi pengundi kali pertama iaitu pengundi kali pertama.

Dalam siri ramah mesra kita dengan rakyat di luar, saya dapat melihat ada respons yang positif daripada kumpulan anak muda ini dan wanita kepada PN. Ini sebagai sesuatu yang agak baik, saya ambik sebagai yang positif, insya-Allah kita perlu lebih memperkukuhkan dan memperkuatkan jentera dan kempen penerangan kita.

Apakah harapan tuan haji kepada pengundi di Rembau?

Nazree: Harapan saya ialah supaya kita mencipta sejarah di Rembau. 60 tahun lebih Rembau ditadbir oleh kepimpinan UMNO dan BN. Saya yakin dengan sejumlah lebih 133,000 pemilih di Parlimen Rembau ini, kebijakan dan kepintaran dan kematangan untuk memilih platform perjuangan politik, dakwah, ilmu, ekonomi, pendekatan sosial yang terbaik untuk mereka pilih dan menangkan PN pada 19 November.

Yang kedua, harapan saya ialah kita mesti memulakan kempen-kempen politik, ceramah dan sebagainya sebagai satu ruang untuk mengetengahkan nilai-nilai ilmu, fakta dan juga soal integriti yang baik, rancangan-rancangan yang baik supaya pada masa hadapan kita boleh membentuk generasi yang lebih memahami dan mereka mahu terlibat dengan politik ini bukan semata-mata soal baju dan pakaian serta lambang politik sahaja, tetapi nilai yang ada dalam sebuah perjuangan parti-parti politik itu sendiri.

Maka, selalu pimpinan muda dalam Bersatu dan PN di Negeri Sembilan, saya berharap agar anak muda, wanita, wanita muda, golongan veteran, pencen, suri rumah, pegawai awam, ahli perniagaan dapat mula menilai intipati perjuangan sesebuah parti termasuk juga visi dan misi yang ingin diketengahkan dan yang paling penting ialah mesti kita memberi tumpuan kepada soal-soal pembangunan, peluang pendidikan anak muda, kelestarian ekonomi dan juga tentang soal bagaimana nak jaga jaringan sosial dan masyarakat.

Inilah yang saya fikirkan perlu untuk Rembau. Maka, sebab itu dalam tumpuan saya di sini ialah bagaimana untuk kita memastikan Rembau maju bersama. Di Rembau ini bukan sahaja kemajuan itu mahu kita fokuskan orang tertentu tetapi kita mesti membangunkan dan membawa kemajuan di Rembau ini secara bersama dan secara holistik. Itulah harapan saya kepada pengundi.

Selamat mengundi pada 19 November. Pilihan untuk menentukan siapa yang selayaknya diberikan amanah adalah di tangan anda semua. – MalaysiaGazette