Muhyiddin Yassin

PAGOH – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang tergendala akibat masalah pemanduan automatik perlu diselesaikan secepat mungkin kerana boleh menyulitkan urusan pengguna.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepatutnya tindakan cepat perlu dilakukannya oleh kementerian yang berkaitan kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat.

“Saya tak perlu mengajar tentang hal itu. Saya baca berita itu cukup menyedihkan kerana beberapa hari LRT tidak bergerak menyebabkan banyak komuter tidak dapat digunakan dan banyak masalah berlaku.

“Walaupun ketika ini negara dipimpin oleh kerajaan sementara, tanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Ia perlu mengambil kira apa punca ia berlaku dan berapa cepat boleh ditangani bagi menyelesaikan masalah pengangkutan berkenaan,” katanya kepada media selepas program Sembang Santai Bersama Penduduk di Kampung Panjang Sari, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, ini kerana pengguna LRT ada yang sudah membeli tiket untuk urusan seharian mereka dan pelbagai lagi masalah timbul.

“Apa yang penting sekarang adalah apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu berkenaan kerana ini salah satu daripada isu sistem pengangkutan yang agak penting di kawasan lembah Klang dan banyak pengguna terkesan dengan masalah berkenaan.

“Sepatutnya sudah ada perancangan awal kalau berlaku hal seperti ini, apa perlu buat dengan cepat sebab sebelum ini sudah pernah ada pengalaman insiden rempuhan LRT,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun isu itu tidak melibatkan nyawa tetapi kelewatan yang berlaku adalah disebabkan oleh masalah teknikal dan perkara berkenaan tidak patut berlaku dan masih berulang.

Semalam, LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan, menyebabkan perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen Ampang Park diberhentikan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel, memaklumkan ia dibuat atas faktor keselamatan selepas berlalu gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) Laluan Kelana Jaya, yang mula dikesan jam 3.03 petang semalam. – MalaysiaGazette