Bot nelayan di Pelindung Pantai, Kuantan.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Warga nelayan di Pasar Nelayan Balok di sini ada sebab untuk rasa kecewa.

Keluh kesah mahu membela komuniti mereka hanya didengari saban pilihan raya namun sampai sekarang belum diselesaikan.

Justeru mereka berharap wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  memastikan nasib mereka terbela.

Kamaliza Ramli, 42, yang mewakili suara nelayan di Balok berkata, sudah bertahun-tahun isu muara cetek membelengu merekan namun ia masih belum diselesaikan.

Beliau berharap perubahan perlu dilakukan agar dapat membela nasib mereka.

Kamaliza Ramli

“Muara sungai cetek, dia (wakil rakyat) tak peduli tentang itu. Bertahun masalah ini berlaku, wakil rakyat yang sedia ada kurang respon kepada nelayan.

“Jadi kita minta calon yang bertanding dan menang selepas ini dapat membaiki pengkalan nelayan yang muara sungai cetek, wakil rakyat baru terpilih minta tolong dalamkan muara Sungai Balok,” katanya.

Tambah Kamaliza, mujur dengan ada bantuan kerajaan Negeri Pahang kepada nelayan yang berlesen sedikit sebanyak mengurangkan beban.

Namun separuh daripada nelayan pantai di Balok tidak mempunyai lesen.

Beliau turut kesal apabila sepanjang tempoh perkhimdmatan wakil rakyat di Parlimen dan di DUN, mereka jarang turun padang.

“Dalam tempoh lima tahun ini, wakil rakyat hanya turun hanya ketika hendak mengundi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Sementara itu, bagi Sheikh Shahezan Mohamad, 67, mengakui perkara yang sama dan mereka sukar bertemu wakil rakyat sebelum ini untuk mengadukan masalah di Indera Mahkota.

Shahezan Mohamad

Meskipun bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikecapi namun sedikit ralat kerana jarang melihat pemimpin turun padang melawat kawasan Indera Mahkota.

Beliau berharap perubahan demi kestabilan ekonomi dan pembangunan bagi menjamin masa depan seluruh kawasan Indera Mahkota selain dapat menyelesaikan isu tekanan air rendah.

“Kawasan aman, ada sedikit kemajuan di Indera Mahkota namun rakyat tiada perkembangan dengan wakil rakyat kerana jarang turun padang dan jarang jenguk rakyat.

“Saya berharap sangat berikan kemudahan, kemajuan kepada rakyat, banyak lagi kawasan lain di Kuantan membangun berbeza di sini masih sunyi, tempat-tempat minum air tiada, pasar minggu atau pasar malam pun tiada.

“Saya memang setuju kalau BN (Barisan Nasional) ambil balik, biar Cina pun tak apa asal BN,  saya setuju BN memerintah balik sebab BN biasanya ada salurkan bantuan,” katanya.

Pada PRU-14, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dari Pakatan Harapan (PH)  menang kerusi Parlimen Indera Mahkota dengan majoriti 10,950 dan mendapat 28,578 undi menewaskan calon BN, Datuk Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan (17,515 undi). – MalaysiaGazette