Presiden PAS yang juga calon PAS P.037 Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir pada Ceramah Pentas Perikatan Nasional Kuala Langat sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor. 09 NOVEMBER 2022.

BANTING – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru agar rakyat memberikan kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, sudah tiba masanya untuk Barisan Nasional (BN) berehat selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Kita (PN) minta BN berehat dahulu berhentilah memerintah biar naik kerajaan baharu dan bagi PN memerintah satu penggal tengok bagaimana kita buat.

“Kita telah buktikan program yang kita sebut best, bersih dan stabil… kita sudah buktikan,” katanya di pentas PRU15 di Kampung Kanchong Darat, lewat malam tadi.

Hadir sama adalah Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanitanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Jelas Abdul Hadi lagi, gabungan PN telah membuktikan bahawa pemerintahannya adalah bersih dan tidak ada salah laku.

“Kerajaan yang kita perintah Kelantan, Terengganu dan Kedah bersih tidak ada salah laku. Tidak ada rasuah dan salah laku, Terengganu kita perintah tiga kali juga tidak ada salah laku.

“Kedah kita memerintah dua kali tidak ada salah laku, PN yang kita perintah dalam dua tahun juga tidak ada salah.

“Kita sudah buktikan, kes mahkamah dalam pemerintahan kita itu kes dahulu masa BN, kita sambung perbicaraannya. Masa PH memerintah ada kes rasuah berhenti di tengah jalan,” katanya di hadapan lebih 1,000 penyokong PN.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa PN sudah semakin hampir untuk menguasai kerajaan negeri Pahang apabila meramalkan Pas akan mengekalkan lapan kerusi yang pernah dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

“Di Perlis kita ambil Datuk Seri Shahidan Kassim, dan di Pahang kita ambil Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib jadi calon PN. Ini isyarat kita nak tembusi Perlis dan Pahang, InsyaAllah kita akan tawan Perlis dan juga Pahang.

“Di Pahang kita sudah ada lapan kerusi menang (PRU14) dan memerlukan empat kerusi lagi untuk tubuh kerajaan, sekurang-kurangnya kita dominasi kerajaan negeri,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan PN mengambil calon yang digugurkan BN iaitu Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib bagi Parlimen Maran, Pahang.

Pada PRU14 lalu, Pas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya Beserah, Tanjung Lumpur, Luit, Panching, Tahan, Chenor, Jengka dan Damak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.