MELAKA – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya (HTJ), Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh mengakui lebih gemar mendekati pengundi dengan cara bertemu sendiri tanpa perlu bergantung pada poster ‘menjual’ dirinya di jalanan berbanding parti lain.
Timbalan Ketua Pejuang negeri itu berkata, hanya melalui cara berinteraksi dengan pengundi akan membuatkan mereka rasa lebih dihargai untuk memilihnya sebagai Ahli Parlimen menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Menurutnya, walaupun parti lawan kini semakin giat memasang bendera dan poster calon di segenap pelosok negeri ini, ia tidak sedikit pun menggugat semangatnya, malah teruja melihat semua calon parti berlumba-lumba untuk menang dalam ‘perang’ poster.
“Mungkin kerana pada saya, cara kempen poster ini sudah tidak lagi relevan dalam dunia digital hari ini, malah saya yakin pengundi lebih gemar kalau mereka dapat lihat calon itu bersemuka dengan mereka.
“Saya yakin, jika calon pandai berinteraksi dan tahu apalah isu-isu mikro dalam sesebuah kawasan itu, ia menjadi senjata kuat untuk mencuri hati pengundi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau yang juga merupakan seorang peguam bagaimanapun tidak menafikan perang poster mampu membangkitkan semangat calon dan pengundi untuk berkempen dan keluar mengundi 19 November ini.
“Di peringkat Pejuang sendiri, kami bukannya tiada bahan kempen, sebaliknya ia sedang dicetak di peringkat pusat dan akan dipasang bermula minggu ini.
“Biarlah parti-parti besar lain naikkan dulu bendera dan poster mereka sebab menang bahan kempen tak menjamin menang di hati pengundi,” katanya.
Pada PRU kali ini Sheikh Ikhzan berdepan saingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Adam Adli Abd Halim (Pakatan Harapan) dan Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional). – Malaysia Gazette.