akan mengadakan konsert di Plenary Hall, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur pada 20 Januari tahun depan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan kembali ke negara ini dengan berita gembira apabila merancang mengadakan konsert di Plenary Hall, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur pada 20 Januari tahun depan.

Dikenali Konsert A Decade: Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2023 anjuran Seven Skies Motion itu merupakan konsert sulung pertama penghibur berusia 30 tahun itu.

Apa yang menarik, penyanyi lagu Harus Terpisah itu turut mengumumkan akan mendedikasikan segmen istimewa sebagai penghargaan atas jasa arwah ayahnya yang memberi sokongan kepadanya untuk menceburi arena seni.

“Banyak perkara yang saya kesali terutama membabitkan momen bersama ayah, tetapi saya tetap bersyukur dia ada dari awal saya menceburi arena nyanyian.

“Ketika kecil ayah yang galakkan saya sertai pertandingan selain gigih menemani ke pelbagai acara. Dia pencetus inspirasi dan pendorong setiap karya saya.

“Allahyarham antara individu utama yang menjadikan saya seorang penyanyi pada hari ini. Jadi konsert itu nanti akan ada tribute untuk ayah,” katanya pada sidang media sempena konsertnya di sebuah hotel di ibu kota, semalam.

Mengimbau kembali momen yang merenggut emosinya apabila kehilangan ayahnya, Cakra berkata, allahyarham meninggal dunia ketika dia dalam perjalanan menjayakan sebuah konsert.

“Bapa meninggal dunia akibat angin ahmar di hospital dan sepanjang dirawat di hospital, saya menemaninya.

“Sehinggalah satu hari saya meninggalkan bapa untuk menjayakan konsert tetapi dalam perjalanan saya dimaklumkan tentang kondisinya.

“Terus saya berpatah balik ke hospital dan membatalkan konsert. Tak sempat sampai, arwah sudah menghembuskan nafas terakhir. Itu detik terburuk yang pernah saya rasa,” kongsinya.

Tambah penyanyi lagu Kekasih Bayangan itu, situasi tersebut membuatkan separuh jiwanya ‘pergi’ namun perasaan tersebut beransur hilang.

Namun dia perlahan-lahan mengalih tumpuan dengan memperuntukkan masa berkualiti bersama ahli keluarga terutama ibunya.

Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman merupakan artis kelahiran Jawa barat.

Dia juga popular dengan lagu Seluruh Cinta, berduet dengan nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2012.

Lagu tersebut telah memenangi Anugerah Planet Muzik (APM) ke-14 dalam kategori Kolaborasi Terbaik (Artis) pada 2015. – MalaysiaGazette