KUALA SELANGOR – Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi P096 Kuala Selangor, Datuk Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak mahu melayani mana-mana serangan politik mahupun fitnah terhadapnya sepanjang tempoh berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, beliau mahu memberi fokus kepada perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan membawa pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar itu jika diberi mandat sebagai wakil rakyat pada 19 November ini.
“Saya tidak fokus kepada fitnah, kalau ada yang buat fitnah pun biarlah mereka mempunyai pandangan masing-masing.
“Bagi saya kita fokus dengan apa yang boleh kita buat untuk kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi negara khususnya saya pada masa ini fokus untuk Kuala Selangor juga
“Kalau ada pun serangan (fitnah) saya tak pandang kerana pada saya, semua ada pendapat masing-masing, biarlah mereka dengan pendapat mereka, kita hormati pandangan orang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Pertandingan Bowling Orang Kurang Upaya (OKU) di One Plaza di sini. Hadir sama, Pengerusi BN Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu tidak berminat untuk bermain dengan politik kotor untuk memenangi PRU15 kali ini.
“Kenapa kita nak menang pilihan raya, kerana kita nak membantu rakyat dan juga pembangunan negara.
“Saya tidak berminat untuk bermain dengan politik kotor dan semua wakil rakyat patut fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat.
“Itulah sebabnya slogan kita di sini, Untuk Kuala Selangor ialah untuk kita dengar, kita hayati dan kita selesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette