Datuk Ibrahim Katop bersama pengundi Sungai Manik.

PASIR SALAK – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik daripada Barisan Nasional (BN) dicalonkan semula untuk merampas kerusi itu daripada Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang mengkhianati parti selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Datuk Ibrahim Katop menjadi ADUN Sungai Manik dari tahun 2004 hingga 2008 sebelum kerusi itu diberikan kepada Zainol untuk ditandingi.

Zainol menjadi ADUN selama tiga penggal sebelum beliau keluar UMNO selepas PRU14 untuk menyertai Bersatu. Beliau menjadi calon Perikatan Nasional pada PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Menurut Ibrahim, Zainol antara dua ADUN BN yang menyebabkan parti itu kehilangan Kerajaan Perak kepada Pakatan Harapan (PH) apabila bertindak menggagalkan kerajaan campuran dengan Pas.

“Sedihlah dia menang atas tiket BN tapi bila nak buat pembentukan kerajaan negeri bincang dengan Pas cukup 30 kerusi tiba-tiba dia melompat dan menghilangkan diri,

“Dua orang ADUN iaitu Sungai Manik dan Tualang Sekah. Mereka lari jadi tak cukup majoriti 30 dengan sendiri PH menang pada 2018,” katanya.

Ibrahim berkata, selepas tiga penggal tidak menjadi wakil rakyat beliau kemudian diminta oleh Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad untuk bertanding semula  di DUN tersebut.

Katanya, dia hanya mengetahui namanya naik sebagai calon pada hari terakhir sebelum pengumuman dibuat.

Ibrahim berkata, pencalonannya mungkin kerana beliau tidak pernah mengkhianati UMNO dan terus memberi khidmat kepada parti dan rakyat walaupun tidak menjadi calon semula selepas 2008.

Justeru menurut Ibrahim, pencalonnnya adalah satu amanah untuk merebut semula kerusi itu daripada Zainol yang turut bertanding kali ini di bawah logo Perikatan Nasional.

“Pasal amanah yang digalas dan mandat diberikan kepada saya insya-Allah dengan sokongan ahli dan jentera.

“Rakyat paling terasa kerana Zainol melompat pada 2018 dan tinggalkan semua. Dia tidak ambil kira perasaan pengundi Sungai Manik.

“Ini saya tengah gerak jumpa balik pengundi dan semua cakap nak ajar dia. Tak patutlah sudah tolong dia menang lepas itu melompat. Tak ada ucapan terima kasih. Tak ada apa pun tiba-tia hilang,” kata Ibrahim.

Selain Zainol, Ibrahim akan berhadapan dengan calon Pakatan Harapan Mohamad Maharani Md Tasi. DUN Sungai Manik mempunyai 35,469 pengundi berdaftar.-MalaysiaGazette