Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar lebih sederhana pada suku terakhir 2022.

Bank Negara Malaysia berkata, kadar pertumbuhan yang dijangka lebih perlahan mencerminkan persekitaran global yang lebih mencabar serta ketiadaan kesan asas.

Namun prestasi positif keseluruhan tahun 2022 dijangka kekal berikutan pertumbuhan kukuh pada tiga suku pertama tahun ini.

Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.0-5.0 peratus pada 2023.

Katanya, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh berikutan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik.

“Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur besar serta jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia masih terdedah pada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan rantaian bekalan yang kembali terganggu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Bank Negara menjangkakan inflasi keseluruhan dijangka sederhana pada suku keempat tahun 2022, namun kekal tinggi.

Ia kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga akan reda pada suku keempat tahun 2022.

Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dijangka berpurata pada 3.3% pada tahun 2022.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka terus tinggi bagi baki tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.

Menjelang tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta sebarang perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri.

Kesan tambahan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. -MalaysiaGazette