KUALA LUMPUR- Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan kukuh 14.2 peratus pada suku ketiga 2022.
Bank Negara Malaysia berkata, prestasi positif itu didorong permintaan domestik yang kukuh, disokong keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik serta sokongan dasar yang berterusan.
Eksport pula terus disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E).
Manakala pemulihan pelancongan dalam negeri pula memberikan sokongan tambahan kepada kegiatan ekonomi.
Mengikut sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan. Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.9% (S2 2022: 3.5%).
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 9.3% pada tiga suku pertama tahun 2022.
Inflasi keseluruhan pada tahun ini mungkin telah mencapai tahap tertingginya iaitu 4.5% pada suku ketiga (S2 2022: 2.8%) manakala inflasi asas terus meningkat kepada 3.7% (S2 2022: 2.5%).
Seperti yang dijangka, peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2021, serta peningkatan berterusan dalam inflasi teras dan barangan yang harganya tidak menentu.
Tekanan inflasi mencerminkan gabungan tekanan kos yang meningkat khususnya untuk barangan berkaitan makanan serta keadaan permintaan yang kukuh.- MalaysiaGazette