Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Pencapaian ekonomi yang memberangsangkan dalam tempoh suku ketiga 2022 menunjukkan Malaysia berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan melebihi paras prapandemik bagi tahun 2022.

Namun, ekonomi Malaysia kini mula merasai kesan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan terutama dari negara maju.

Walau bagaimanapun, tinjauan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka masa terdekat menunjukkan ia kekal berdaya tahan dengan asas makroekonomi yang kukuh, keadaan kewangan yang stabil dan kepelbagaian struktur ekonomi, kata Kementerian Kewangan.

Menurutnya, pelbagai langkah akan diteruskan bagi meningkatkan potensi ekonomi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang menarik serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif

Mengulas ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan yang lebihccpesat sebanyak 14.2% pada suku ketiga 2022, Kementerian Kewangan berkata, prestasi ini disokong oleh permintaan domestik yang berkembang terutamanya daripada perbelanjaan isi rumah selari dengan pemulihan prospek pasaran buruh dan pendapatan.

Selain itu, sumbangan sektor berkaitan pelancongan kepada permintaan domestik dijangka pulih berikutan kenaikan jumlah ketibaan pelancong.

Pelaksanaan lebih cepat projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi, peningkatan pelaburan swasta yang menggalakkan serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama akan mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Prospek ekonomi Malaysia turut bergantung kepada perkembangan ekonomi global memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka.

Tekanan ekonomi, terutamanya peningkatan inflasi global akibat kenaikan harga yang berterusan dalam komoditi, makanan dan bahan mentah, di samping isu gangguan rantaian bekalan yang berterusan akibat ketegangan antara Rusia dan Ukraine dijangka meningkatkan kos operasi dan input kepada perniagaan.

Tambahan pula, risiko keadaan kewangan global yang lebih ketat dan peningkatan kos sara hidup dijangka menjadi cabaran kepada usaha pemulihan ekonomi negara.

Bank Negara Malaysia hari ini berkata, ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan ekonomi.

Menurutnya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh disumbangkan oleh permintaan dalam dan luar negara serta pasaran buruh yang memberangsangkan.

Perkembangan ini turut dipacu oleh prestasi menggalakkan dalam semua sektor ekonomi diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, selain 22 ini turut disokong oleh pelaksanaan langkah Bajet 2022 serta kesan limpahan daripada peralihan kepada fasa endemik yang mendorong aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak.

Secara keseluruhan, KDNK meningkat sebanyak 9.3% pada sembilan bulan pertama 2022 selepas merekadkan pertumbuhan 8.9% pada suku kedua dan 5% pada suku pertama. – MalaysiaGazette