LARUT – Masalah yang dihadapi oleh penduduk Felda Ijok mudah untuk diatasi jika Datuk Seri Saarani Mohamad kekal menjadi menteri besar selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah Osman Ahmad berkata, antara isu yang diluahkan oleh masyarakat di situ adalah masalah penempatan generasi kedua dan banjir.
“Insya-Allah, kita akan cuba selesaikan isu-isu yang dibangkitkan. Masalah penempatan generasi kedua memang ada.
“Mungkin ada tanah-tanah kosong akan disampaikan dan dana untuk pembinaan rumah.
“Yang terbaik adalah jika team Cikgu Saarani terus menjadi menteri besar. Mudah untuk kita atasi,” kata Osman yang ditemui ketika berjalan dari rumah ke rumah bertemu penduduk di Felda Ijok.
Menurut beliau, Saarani tidak pernah melupakan masyarakat Felda dan akan turun ke kawasan itu esok.
Sementara itu Osman berkata, beliau akan menemui setiap penduduk di DUN Kubu Gajah.
Di Felda Ijok sahaja beliau telah melawati lebih 200 rumah dan lebih 500 rumah lagi akan dikunjungi.
Menurut Osman beliau mahu mengembalikan semula Kubu Gajah sebagai kubu BN selepas kawasan itu terlepas ke tangan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Calon Pas Khalid Yahaya memenangi DUN Kubu Gajah dengan majoriti tipis 180 undi.
“Penat? Biasalah nak lawan. Parti sudah beri kepercayaan kepada saya maka saya kena laksana tanggungjawab. Nak pastikan Kubu Gajah kembali kepada BN.
“Sokongan telah kembali semula kepada BN. Kita tengok rakyat sedar, pertukaran kerajaan yang kerap dan rakyat mahu beri keyakinan kepada BN,” katanya.
Dalam pada itu menurut Osman, beliau mahu meneruskan kerja-kerja yang tertangguh di DUN itu sekirannya diberi peluang menjadi wakil rakyat.
DUN Kubu Gajah mempunyai 21,358 pengundi.
Pada PRU15, DUN itu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan penyandang Khalil akan mempertahan kerusi di bawah lambang Perikatan Nasional.-MalaysiaGazette
















