Bendera parti politik parti MUDA dan Barisan Nasional yang berkibar di sekitar kawasan jeti nelayan sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Parit Jawa, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2022.

MUAR – Sebilangan nelayan di Parit Jawa mendakwa kebanyakan calon tidak akan muncul selepas mereka menang pilihan raya.

Justeru, mereka tidak lagi ambil peduli siapa yang akan memimpin negara kerana mereka tetap akan turun ke laut untuk menangkap ikan.

Seorang nelayan, Rashid Ishak, 70, berkata, beliau tidak berminat untuk mengambil tahu tentang politik negara dan baginya cukup sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih sahaja.

“Kami beri undi kepada mereka dan selalunya bila menang tiada pun yang ambil tahu pasal kehidupan kami.

“Bila cakap pasal politik ni saya nak kata tepuk dada tanya seleralah,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Rakannya, Azwan Ibrahim pula memberitahu, nelayan di Muar sememangnya berharap agar pemimpin yang dipilih dapat turun padang dan mendengar keluhan mereka dan bukannya muncul bila tiba pilihan raya.

Baginya, antara rintihan yang perlu diambil tahu oleh wakil rakyat adalah mengenai kesusahan yang dihadapi oleh kebanyakan nelayan di sini.

“Ketika itu nelayan tidak boleh turun ke laut. Jadi, pemimpin yang menang nanti jangan turunkan pula elaun sara hidup nelayan.

“Mereka perlu teruskan bantuan yang ada dan menjaga kebajikan nelayan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi rakan mereka Kamaruddin Abdullah, 58, berkata, sebagai rakyat Malaysia, beliau pasti turun mengundi pada PRU15 walaupun mengetahui situasi politik masa ini tidak menentu.

Katanya, mana-mana parti yang membentuk kerajaan harus peka dan perlu sentiasa prihatin kepada nasib rakyat.

“Memang sesiapa pun bila menjadi pemimpin tidak ada yang sempurna.

“Bagi saya muka baharu perlu diberikan peluang supaya kepimpinan itu lebih cekap dan rakyat tidak bosan,” tambahnya. – MalaysiaGazette