PUTRAJAYA – “Walaupun tahu hendak kalah tetapi janganlah terdesak sangat. Bertandinglah secara sihat”
Demikian kenyataan yang dikeluarkan Calon Barisan Nasional (BN) Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sedih dan terkejut melihat posternya diconteng malam tadi.
Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen, ini kali pertama insiden sedemikian berlaku kepadanya.
“Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini maka satu laporan polis telah dibuat semalam kerana kita tidak mahu perkara-perkara tidak sihat berlaku di Putrajaya.
“Putrajaya adalah tempat yang aman dan saya sebagai Ahli Parlimen sudah empat penggal mendidik warga kita untuk bersama-sama bersatu padu dan mempunyai etika yang baik.
“Apabila orang luar datang, macam-macam dia buat. Saya sudah beritahu penyokong saya agar tidak membalas perbuatan ini,” katanya kepada media hari ini.
Tengku Adnan ditemui media ketika menghadiri program Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Anjung Floria, pagi tadi.
Menurutnya, empat poster beliau dirosakkan individu tidak bertanggungjawab dengan dicat dan diconteng di Presint 8 dan Presint 11, Putrajaya.
Ditanya mengenai 50 tawaran yang dikemukakan lawannya, Datuk Radzi Jidin daripada Perikatan Nasional (PN), Tengku Adnan berkata semua yang disebut oleh Menteri Kanan Pendidikan itu telah dilakukan beliau sebelum ini.
“Manifesto dia semua saya sudah buat. Era baharu apa?
“Paling lawak adalah mengenai van jenazah. Saya sudah beri empat van jenazah untuk kegunaan bukan hanya untuk penduduk di sini sahaja tetapi saudara- saudara mereka yang meninggal di Putrajaya supaya kita boleh hantar mereka sampai ke Kelantan, Johor dan Perlis. Tidak ada masalah,” katanya lagi.
Semalam, Radzi melancarkan manifestonya di Putrajaya menggariskan lima tunjang utama dengan 50 tawaran khusus untuk pengundi-pengundi di kawasan itu.
Antaranya mewujudkan sebuah pusat khidmat sehenti yang berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen.
Beliau juga berjanji untuk menubuhkan Akademi Anak Putrajaya untuk memberikan peluang kepada anak-anak Putrajaya mendapatkan akses kepada program atau aktiviti pembangunan kendiri.
Radzi turut berikrar untuk memberikan peruntukan dana khas Komuniti Rukun Tetangga sebanyak RM10,000 bagi melaksanakan program kemasyarakatan. – MalaysiaGazette