Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob (kanan) melakukan gimik jualan murah ayam peladang yang dijual dengan harga RM8 seekor pada Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

BERA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyasarkan penambahan lebih ramai penyertaan dari golongan anak muda menjadi sebahagian ahli Peladang dalam tempoh dua tahun ini.

Menurut Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob, peladang muda kini hanya meliputi kira-kira 15 peratus daripada hampir sejuta ahli Peladang sedia ada.

Pengerusi Jemaah Pengarah (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob bercakap kepada media pada Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

Jelasnya, bidang pertanian mempunyai potensi luas dan mampu beri jaminan pendapatan yang lumayan pada golongan itu.

“Kita akan groom mereka. Kita adakan kursus, seminar, dedahkan kepada program-program yang memberi motivasi kepada ahli Peladang supaya mereka lebih berminat untuk berkecimpung dalam bidang ini.

“Di peringkat desa, kebanyakan ketua-ketua kampung ni ketua unit Peladang kita. Misalnya di Bera, ahli kira-kira 5,000, setiap kampung ada unit peladang. Jadi dia akan tarik ahli-ahli peladang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Karnival Keluarga Malaysia: Karnival Jualan Keluarga Peladang yang diadakan di Dataran Kerayong di sini hari ini.

Program pengisian Karnival GEGOR Anak Muda Bera tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah Zamri, dengan adanya tanaman-tanaman baharu yang semakin mendapat perhatian di pasaran, golongan muda ahli Peladang mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengembangkan perusahaan mereka.

“Contohnya tanaman betik F1 yang baharu, tanaman ‘rock melon, ini antara yang perlu didedahkan kerana ia terbukti boleh memberi pulangan lumayan kepada pengusaha-pengusaha,”jelasnya.

Orang ramai beratur bagi membeli barangan jenama Peladang yang dijual dengan harga lebih murah daripada harga pasaran sempena Karnival Jualan Keluarga Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2022.

Beliau berkata, kira-kira 90 peratus dalam kalangan ahli Peladang kini berumur 60 ke atas dan sukar dibentuk untuk meneroka pasaran baharu.

Justeru, katanya, usaha menarik penglibatan ahli Peladang dalam kalangan anak muda sememangnya harus diberi tumpuan bagi pertumbuhan ekonomi sektor pertanian yang lebih berdaya saing.- MalaysiaGazette