Tan Sri Ong Tee Keat

AMPANG –  Calon Parti Warisan Parlimen Pandan, Tan Sri Ong Tee Keat meletakkan harapan untuk memenangi kerusi itu walaupun dicabar pesaing-pesaing berwibawa.

Bekas Presiden MCA itu berkata, beliau sama sekali tidak mengambil mudah persaingan lima penjuru yang bakal dihadapinya di kubu Pakatan Harapan (PH) itu.

Tan Sri Ong Tee Keat (kiri) berbual dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bersama bekas presiden MCA, pada Majlis Perkenalan Calon Calon Warisan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 di Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 NOVEMBER 2022.

“Sepanjang karier politik saya sejak 1989 sehinggalah ke hari ini, saya sentiasa dicabar oleh pesaing-pesaing gergasi dan berwibawa.

“Perkara yang sama juga berlaku di Pandan kali ini.

“Maka, jika ditanya, saya boleh katakan sedikit optimistik untuk membuat kejutan dan menang di Pandan namun saya tidak mahu terlalu angkuh,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Ujarnya, beliau mengambil kira semua faktor dan dalam masa yang sama mendengar nasihat jentera parti untuk membuat persiapan sebaik mungkin.

Ong Tee Keat bertemu pencabarnya Calon PH, Rafizi Ramli ketika turun padang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Pagi Taman Muda, Ampang. Foto MUHD NA’IM, 06 NOVEMBER 2022.

Tee Keat bukan nama asing di kerusi Parlimen Pandan. Beliau merupakan Ahli Parlimen di kawasan itu selama dua penggal pada 2004 hingga 2013 di bawah Barisan Nasional, sebelum dikalahkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Selepas menyepi daripada dunia politik selama lima tahun, bekas Menteri Pengangkutan itu membuat kemunculan semula tetapi kali ini di bawah tiket parti Warisan.

Menurut Tee Keat, beliau yakin pengundi-pengundi di Pandan masih memerlukan khidmatnya.

Tambahan pula, beliau merasakan penerimaan rakyat termasuk daripada kaum Melayu masih baik terhadap beliau.

“Saya tidak tahu hendak kata sama ada saya boleh dianggap pemimpin yang masih berbisa atau sebaliknya.

“Tetapi apa yang penting adalah mesej perubahan perlu disampaikan kepada pengundi muda kerana mereka adalah penentu kemenangan seseorang calon,” katanya lagi.

 

Tan Sri Ong Tee Keat bertemu di Taman Muda menjelang PRU15 pada 19 November ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya rutin hariannya sepanjang tempoh berkempen, Tee Keat berkata, beliau terpaksa mencuri masa untuk bersenam setiap pagi hari.

“Sebelum ini saya ada banyak masa untuk bersenam yang mana saya suka berjalan di taman rekreasi demi menjaga kesihatan tetapi sejak jadi calon saya terpaksa curi-curi masa untuk bersenam.

“Sebab itu saya rasa segar, tenang dan selesa dari segi fizikal serta kurus dan bergaya,” katanya sambil tersenyum menyantuni pengundi.-MalaysiaGazette