Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (kiri) meninjau kerja-kerja persiapan akhir berikutan hari pengundian awal pada esok hari sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Badminton PDRM Alor Akar, Kuantan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2022.

KUANTAN – Seramai 21,164 orang pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta tentera akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal esok sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pahang.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, ia meliputi seramai 15,027 orang tentera dan 6,137  pegawai dan anggota polis.

“Terdapat 70 saluran mengundi awal di 50 pusat undi awal di seluruh Pahang. Di Kuantan sahaja ada enam Pusat Daerah Mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persediaan yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Badminton PDRM Pahang, di Alor Akarchari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap kepada media selepas meninjau kerja-kerja persiapan akhir berikutan hari pengundian awal pada esok hari sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Badminton Kompleks PDRM Alor Akar, Kuantan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2022.

Turut mengiringi beliau, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

“Di dewan ini sahaja ada tiga saluran yang telah disediakan oleh SPR yang akan menerima 1,560 orang pegawai, anggota polis dan tentera yang akan mengundi esok,” tambah Ramli.

Mengulas lanjut, beliau erpuas hati dengan tahap kesediaan di pusat pengundian awal di sini.

“Persiapan hari ini saya rasa sangat sempurna kerana dikatakan pada tahun ini dibuat dengan begitu rapi sekali dimana kali ini ‘partition’ didirikan dengan board berbanding sebelum ini dengan kain sahaja,” jelasnya.

Beliau yang turut memaklumkan akan keluar mengundi di sini sekitar pukul 8.30 pagi esok berpeluang mengikuti simulasi proses pengundian yang akan berlangsung esok.

“Ini saya lihat akan memudahkan pengundi esok. Insya-Allah semua 1,560 anggota badan beruniform akan keluar mengundi esok kecuali yang sememangnya tidak dapat keluar mengundi,” tambahnya.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sibuk melakukan kerja-kerja persiapan akhir menjelang hari pengundian awal pada esok hari sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Dewan Badminton PDRM Alor Akar, Kuantan, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2022.

SPR memaklumkan keseluruhan 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan menerusi PRU15 dalam proses pengundian esok.

Jumlah itu terdiri daripada 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).- MalaysiaGazette