POSTER Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dicalon sebagai Menteri Besar Pahang sudah mula tular di media sosial pada minggu kedua kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

POSTER Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dicalon sebagai Menteri Besar Pahang sudah mula tular di media sosial pada minggu kedua kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Poster gambar Timbalan Presiden Pas bertajuk Menteri Besar Kita itu dilihat strategi Perikatan Nasional (PN) dalam usaha merampas negeri itu.

Sebelum ini, nama Tuan Ibrahim disebut-sebut menjadi calon MB Pahang apabila pemimpin Pas itu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka kali ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian kali ini.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga beberapa kali memberi bayangan mahu mengangkat nama Tuan Ibrahim.

Jumlah kerusi DUN ditandingi Pas di Pahang  sebanyak 24 kerusi berbanding Bersatu sebanyak 13 dan lima bagi Gerakan dan sudah tentu calon menteri besar terarah kepada Pas jika PN menang di negeri itu.

Namun bagi pemimpin Barisan Nasional (BN) keyakinan dan keikhlasan Tuan Ibrahim dipertikaikan.

Ini kerana jika komited, beliau perlu bertanding di DUN Cheka sahaja tak perlu berharap pada kerusi Parlimen.

Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hairan kenapa Tuan Ibrahim perlu dua kerusi jika benar-benar yakin mahu merampas Pahang dari BN.

“Biasalah dalam pilihan raya ini, ada orang mahu jadi PM, ada orang mahu jadi MB. Itu biasa.

“Tapi hairan juga kenapa mahu bertanding dua kerusi?” soalnya ketika ditanya mengenai perkara itu baru-baru ini.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jika Tuan Ibrahim benar-benar serius beliau sepatutnya bertanding juga bagi kerusi Parlimen Lipis.

Ini kerana DUN Cheka salah satu DUN di bawah Parlimen Lipis, katanya.

Beliau bimbang salah satu tanggungjawab itu akan diabaikan jika pemimpin Pas itu menang di kedua-dua kerusi kerana jarak jauh antara Kelantan dan Lipis.

Kawasan majoriti Melayu itu dikatakan dapat memberikan laluan mudah kepada Tuan Ibrahim kerana beliau memang berasal daripada Kampung Batu Balai, Jerantut bersempadan kawasan DUN Cheka.

Bagaimanapun hasrat Pas memenangi DUN Cheka memang cerah namun persoalannya mampukah PN merampas Pahang?

Aura dan kejayaan Pengerusi BN Pahang sebagai Menteri Besar yang telah berjaya menjadikan negeri ini setanding perolehannya dengan Selangor dan Johor satu track record sukar ditandingi.

Lebih-lebih lagi pelbagai inisiatif diperkenalkan dan akan ditambah baik sekiranya BN mengekalkan penguasaannya disenangi rakyat Pahang. – MalaysiaGazette